Connect with us

Antarabangsa

Twitter jadi platform sebar kebencian dalam talian – Pengawal selia siber Australia

Pengawal selia siber Australia menuntut Twitter menjelaskan cara ia menangani mesej dalam talian berunsur kebencian kerana ia dikesan menjadi pentas paling banyak menerima rungutan pengguna di negara itu.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Twitter jadi platform sebar kebencian dalam talian – Pengawal selia siber Australia
Foto: Pemilik Twitter, Elon Musk.
  • Pengawal selia siber Australia menuntut Twitter menjelaskan cara ia menangani mesej dalam talian berunsur kebencian kerana ia dikesan menjadi pentas paling banyak menerima rungutan pengguna di negara itu.
  • Aduan umum terus meningkat sejak pemilik baharu, Elon Musk, menarik balik larangan ke atas 62,000 akaun dilaporkan menyebar kebencian termasuk akaun berprofil tinggi individu menyokong retorik Nazi.
  • Pengawal selia meminta Twitter memperincikan pengendalian bahan penderaan kanak-kanak dalam talian, dikatakan diambil di laman sesawang itu sejak pengambilalihan Musk dan pemberhentian pekerja terutama mereka berperanan mengawal selia kandungan.

SYDNEY: Pengawal selia siber Australia menuntut Twitter menjelaskan cara ia menangani mesej dalam talian berunsur kebencian kerana ia dikesan menjadi pentas paling banyak menerima rungutan pengguna di negara itu.

Aduan umum terus meningkat sejak pemilik baharu, Elon Musk, menarik balik larangan ke atas 62,000 akaun yang dilaporkan menyebar kebencian termasuk akaun berprofil tinggi individu yang menyokong retorik Nazi.

Tuntutan itu dibuat berasaskan kempen oleh Pesuruhjaya eSafety untuk menjadikan laman sesawang itu lebih bertanggungjawab selepas Musk membelinya dengan harga AS$44 bilion (RM204 bilion) tahun lalu untuk memulihkan komitmen terhadap kebebasan bersuara.

Pengawal selia turut meminta Twitter memperincikan pengendalian bahan penderaan kanak-kanak dalam talian, yang dikatakan diambil di laman sesawang itu sejak pengambilalihan Musk dan pemberhentian pekerja terutama mereka yang berperanan mengawal selia kandungan.

Pesuruhjaya, Julie Inman Grant, berkata beliau sudah menghantar notis undang-undang kepada Twitter bagi menuntut penjelasan selepas satu pertiga daripada semua aduan yang diterimanya adalah berkenaan kebencian dalam talian.

Jumlah itu dianggap tinggi kerana pentas itu mempunyai pengguna yang jauh lebih sedikit berbanding TikTok, Facebook atau Instagram.

Katanya, beliau juga meminta Twitter menjelaskan penilaian kesannya apabila membenarkan semula akaun yang diharamkan, cara ia terbabit dengan komuniti yang terkait kepada kebencian dalam talian dan bagaimana ia menguatkuasakan dasarnya sendiri bagi mengekang tindakan berunsur kebencian.

“Twitter disifatkan sudah melakukan kesilapan tetapi tidak menanganinya.

“Jadi, pentas ini perlu bertanggungjawab dan bertindak melindungi pengguna mereka, anda tidak boleh mempunyai akauntabiliti tanpa ketelusan dan inilah tujuan notis undang-undang yang difailkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Berikutan itu, Twitter mesti memberi maklum balas kepada Pesuruhjaya eSafety dalam masa 28 hari atau berdepan denda hampir AUD$700,000 (RM2.2 juta) sehari.

Tuntutan itu dikemukakan ketika Australia menghampiri pungutan suara tahun ini sama ada untuk mengiktiraf Orang Asli dalam Perlembagaan, mendorong perdebatan yang semakin sengit berhubung kaum.

Pengacara televisyen pribumi terkemuka, Stan Grant, juga menyatakan perkauman dan kebencian yang di alami setiap hari di Twitter menyebabkan beliau mengambil keputusan berehat daripada media bulan lalu.

Sumber: Berita Harian

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *