Terkini
Kerajaan serah kepada PDRM, SPRM dedah identiti ahli politik lindungi judi – Saifuddin
Kerajaan menyerahkan kepada pihak penguatkuasa untuk mendedahkan identiti pemimpin politik yang menaungi kegiatan perjudian dalam talian haram di negara ini.
- Kerajaan menyerahkan kepada pihak penguatkuasa mendedahkan identiti pemimpin politik yang menaungi kegiatan perjudian dalam talian haram di negara ini.
- Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata terpulang kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat keputusan itu berdasarkan penilaian profesional mereka.
- “Polis dan SPRM mempunyai profiling mengenai siapa di sebalik pemain dan juga mastermind (dalang). Jadi, mereka mempunyai data yang sangat komprehensif kerana itu mereka berjaya establish (kenal pasti) tentang ini, antara puncanya kerana ada naungan politik.
- “Jadi, tentang apakah mereka akan mendedahkan, itu saya tinggalkan kepada penilaian profesional mereka,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Kementerian Dalam Negeri (KDN) MADANI di Sekolah Latihan Asas Kepolisian Kuala Muda, di sini, semalam.
SUNGAI PETANI: Kerajaan menyerahkan kepada pihak penguatkuasa untuk mendedahkan identiti pemimpin politik yang menaungi kegiatan perjudian dalam talian haram di negara ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata terpulang kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membuat keputusan itu berdasarkan penilaian profesional mereka.
“Polis dan SPRM mempunyai profiling mengenai siapa di sebalik pemain dan juga mastermind (dalang). Jadi, mereka mempunyai data yang sangat komprehensif kerana itu mereka berjaya establish (kenal pasti) tentang ini, antara puncanya kerana ada naungan politik.
“Seperti yang disebut oleh SPRM dan Tan Sri Ketua Polis Negara, ada keperluan untuk kedua-dua badan penguat kuasa ini saling berkongsi maklumat.
“Jadi, tentang apakah mereka akan mendedahkan, itu saya tinggalkan kepada penilaian profesional mereka,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Kementerian Dalam Negeri (KDN) MADANI di Sekolah Latihan Asas Kepolisian Kuala Muda, di sini, semalam.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh.
Mengulas lanjut, Saifuddin Nasuition berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan aktiviti perjudian dalam talian di negara ini boleh mencecah nilai berbilion ringgit setiap bulan.
“Aktiviti judi dalam talian ini banyak jenisnya. Satunya, nombor ramalan atau nombor ekor yang satu minggu nilainya mencecah sehingga RM250 juta. Itu baru satu jenis belum yang lain, hari itu pun saya paparkan hampir 100 laman web (berkaitan judi), saya cuma sebut beberapa sahaja.
“Jadi, apabila kita tengok dari segi saiz itu, jumlah kutipannya sangat besar dan mereka (sindiket) ini sangat besar serta menyimpan keuntungan dalam bentuk mata wang kripto,” katanya.
Beliau berkata, rangkaian terbabit juga menggunakan teknologi yang sangat maju sehingga memerlukan pihak berkuasa mesti berada beberapa langkah ke hadapan.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan kumpulan terbabit membiayai kegiatan politik di negara ini berikutan siasatan pihak berkuasa turut membawa kepada penemuan maklumat mengenai ‘naungan politik’ atau dilindungi orang politik.
“Perkara itu yang disebut oleh Perdana Menteri pada awal ucapan Parlimen iaitu wujudnya elemen pembiayaan daripada aktiviti perjudian terhadap pertubuhan politik.
“Cuma apabila Ahli Parlimen Pasir Mas bertanya soalan, kemudian dijawab oleh menteri hasil siasatan SPRM, pada waktu itu belum menemui sebarang bentuk bukti yang boleh disahkan.
“Tapi hal itu dimainkan, seolah-olah Perdana Menteri bercakap suatu yang tidak betul sehingga apabila ada soalan tambahan tempoh hari mengenai perkara itu dan saya memberikan data yang lebih terperinci.
“Jadi, bukan satu benda yang boleh kita tolak bahawa ada kebarangkalian yang cukup besar bahawa apabila ada naungan politik, maka pemain dalam industri itu yang dilindungi oleh naungan politik sudah tentu perlu balas balik yang tidak mustahil dalam bentuk pembiayaan kegiatan politik,” katanya.
Sumber: Berita Harian