Terkini
Anggota RELA mengaku bersalah cubaan bunuh, amang seksual dan culik kanak-kanak
Seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) hari ini didakwa atas pertuduhan cubaan membunuh, melakukan amang seksual dan menculik seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, pada 26 Mei lalu.
- Seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) didakwa atas pertuduhan cubaan membunuh, melakukan amang seksual dan menculik seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, pada 26 Mei lalu.
- Di Mahkamah Sesyen, tertuduh Ashaari Othman, mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu cubaan membunuh dan melakukan amang seksual manakala di Mahkamah Majistret tertuduh turut mengaku bersalah atas pertuduhan menculik kanak-kanak perempuan terbabit.
- Warga emas itu membuat kesemua pengakuan ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah dan Majistret Rosnee Mohd Radzuan.
- Mengikut pertuduhan pertama yang dibacakan di Mahkamah Sesyen, tertuduh didakwa melakukan cubaan bunuh dengan niat menyebabkan kematian ke atas kanak-kanak itu dengan cara memukul menggunakan kayu bersaiz 49 sentimeter (cm).
BUTTERWORTH: Seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) hari ini didakwa atas pertuduhan cubaan membunuh, melakukan amang seksual dan menculik seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, pada 26 Mei lalu.
Di Mahkamah Sesyen, di sini, tertuduh Ashaari Othman, 71, mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu cubaan membunuh dan melakukan amang seksual manakala di Mahkamah Majistret tertuduh turut mengaku bersalah atas pertuduhan menculik kanak-kanak perempuan terbabit.
Warga emas itu membuat kesemua pengakuan berkenaan ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah dan Majistret Rosnee Mohd Radzuan.
Mengikut pertuduhan pertama yang dibacakan di Mahkamah Sesyen, tertuduh didakwa melakukan cubaan bunuh dengan niat menyebabkan kematian ke atas kanak-kanak itu dengan cara memukul menggunakan kayu bersaiz 49 sentimeter (cm).
Kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan semak bersebelahan sebuah bengkel baiki kereta yang tidak bernombor di Kampung Permatang Keriang, Penaga di sini, pada 26 Mei lalu.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan memasukkan jari ke dalam kemaluan kanak-kanak itu kira-kira jam 5 petang sehingga 8 malam di Eco Park Pantai Robina, pada hari sama.
Untuk pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum hingga 10 tahun serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Sementara pertuduhan kedua pula adalah mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Zulhazmi kemudian menetapkan 6 Julai depan untuk sebutan kes.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret, Ashaari mengaku bersalah atas pertuduhan menculik kanak-kanak itu kira-kira jam 1 tengah hari di Taman Kuala Muda, Penaga pada 26 Jun lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 363 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Asma’ ‘Amira Shahidani yang meminta tiada sebarang jaminan ditawarkan terhadap tertuduh berikutan bimbang tertuduh akan menimbulkan bahaya kepada mangsa kerana mangsa adalah jiran tertuduh.
Rosnee pula menetapkan 11 Julai depan untuk sebutan kes.
Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun hilang selepas keluar bermain berhampiran kediamannya sebelum ditemui dalam keadaan tidak bermaya kira-kira 2.4 kilometer (km) dari lokasi rumahnya.
Susulan itu, polis menahan seorang warga emas bagi membantu siasatan selepas pemeriksaan doktor mengesahkan ada kesan kecederaan berunsurkan jenayah ke atas kanak-kanak terbabit.
Sumber: Berita Harian