Terkini
UPSR dan PT3 tidak akan dikembalikan buat masa ini
Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tidak akan dikembalikan buat masa ini.
- Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tidak akan dikembalikan buat masa ini.
- Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying memaklumkan kepada Dewan Rakyat, kementerian memberi tumpuan kepada pendekatan lebih holistik apabila melibatkan pembangunan pelajar.
- Beliau berkata model pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) dan pentaksiran berasaskan bilik darjah (PBD) adalah pendekatan lebih holistik.
- “Jadi pada masa sekarang kita tidak akan kembalikan UPSR dan PT3,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Rasah Cha Chee Kin di Dewan Rakyat pada Selasa.
KUALA LUMPUR: Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tidak akan dikembalikan buat masa ini.
Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying memaklumkan kepada Dewan Rakyat, kementerian memberi tumpuan kepada pendekatan yang lebih holistik apabila melibatkan pembangunan pelajar.
Sehubungan itu, beliau berkata model pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) dan pentaksiran berasaskan bilik darjah (PBD) adalah pendekatan yang lebih holistik.
“Adakah UPSR dan PT3 akan dikembalikan, buat sementara ini KPM memang beri fokus kepada perkembangan murid secara holistik.
“Jadi pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) dan pentaksiran berasaskan bilik darjah (PBD) memberi ruang dan peluang untuk membangunkan potensi murid secara menyeluruh dan dilaksanakan secara berterusan.
“Jadi pada masa sekarang kita tidak akan kembalikan UPSR dan PT3,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Rasah Cha Chee Kin di Dewan Rakyat pada Selasa.
Peperiksaan UPSR yang merupakan peperiksaan penilaian murid Tahun Enam telah dimansuhkan pada 2021 manakala peperiksaan PT3 dibatalkan pada 2022.
Disember lalu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek meminta ibu bapa memberi ruang dan kepercayaan kepada pelaksanaan sistem PBS iaitu penilaian bersifat holistik untuk mengetengahkan potensi diri murid yang tidak hanya berpandukan pencapaian peperiksaan akademik semata-mata.
Fadhlina berkata sistem pendidikan negara sebelum ini dilihat terlalu berorientasikan kepada peperiksaan akademik adalah bersifat ‘high stake’ yang memberi tekanan kepada murid serta guru.
Katanya, PBS dapat menilai murid bukan sahaja berasaskan pencapaian akademik malah merangkumi aspek pembangunan potensi diri atau proses ansur maju kanak-kanak yang tidak tertumpu kepada satu aspek sahaja.
Sumber: Astro Awani