Antarabangsa
Aktivis pelabur ditahan kerana cuba dedah sisi buruk Bill Gates
Seorang aktivis pelabur, Peter Flaherty ditahan kerana cuba mendedahkan sesuatu mengenai Bill Gates, demikian lapor Daily Mail.

- Seorang aktivis pelabur, Peter Flaherty ditahan kerana cuba mendedahkan sesuatu mengenai Bill Gates.
- Dalam Mesyuarat Tahunan Berkshire Hathaway 2023 awal bulan ini, Flaherty memberitahu bagaimana yayasan milik Gates menyokong identiti jantina berdasarkan sosial dan budaya, bukannya biologi.
- Dia juga mendedahkan yang Gates beberapa kali bertemu dengan penjenayah seks, Jeffrey Epstein.
Seorang aktivis pelabur, Peter Flaherty ditahan kerana cuba mendedahkan sesuatu mengenai Bill Gates, demikian lapor Daily Mail.
Ketika berucap dalam Mesyuarat Tahunan Berkshire Hathaway 2023 awal bulan ini, Peter memberitahu bagaimana yayasan milik Gates menyokong identiti jantina berdasarkan sosial dan budaya, bukannya biologi.
“Yayasan Gates menawarkan Kit Alat Identiti Jantina yang menegaskan bahawa jantina adalah hasil daripada idea yang dibina secara sosial dan budaya. Ini satu pembohongan.
“Jantina bukan terhasil dari budaya, ia adalah fakta genetik dan biologi,” katanya sebelum dicelah oleh pegawai Berkshire, Cathy Woollums.
Peter yang juga Pengerusi Pusat Perundangan dan Dasar Negara (NLPC) kemudian menegaskan yang kata-katanya tidak akan “ditapis” dan merayu kepada Warren Buffet selaku Pengerusi Berkshire Hathaway untuk meneruskan ucapan.
Buffet memberi kebenaran, namun mengingatkan Flaherty yang dia mempunyai had masa berucap selama tiga minit sahaja.
“Kita semua maklum betapa Bill Gates mengambil berat tentang kanak-kanak.
“Dia bertemu dan mengembara dengan Jeffrey Epstein berkali-kali selepas Epstein disabitkan dengan jenayah seks,” kata Flaherty sebelum diejek mereka yang hadir di mesyuarat itu.
Mikrofon Flaherty langsung dimatikan oleh Buffet yang menganggapnya melampaui batas.

Foto: Peter Flaherty ketika diberhentikan ucapannya.
Susulan itu, klip video menunjukkan pihak polis memegang lengan Flaherty dan membawanya keluar dari tempat berlangsungnya mesyuarat tersebut.
Menurut dokumen tangkapan, Flaherty didakwa kerana enggan mematuhi permintaan untuk keluar.
Pada 2008, Epstein mencapai perjanjian dengan pendakwa raya persekutuan selepas dituduh mendera wanita bawah umur secara seksual di Florida.
Tetapi sejak 2011, Gates dilaporkan menemui Epstein beberapa kali, sekurang-kurangnya tiga kali di kediaman penjenayah seks itu yang terletak di Manhattan.
Epstein menjalani hukuman penjara kerana meminta pelacuran daripada kanak-kanak bawah umur dan dikehendaki mendaftar sebagai penjenayah seks sebelum pertemuan pertamanya dengan pengasas Microsoft itu.
Yayasan Gates bernilai $51 billion (RM232 billion) memperjuangkan kesejahteraan gadis-gadis muda.
Gates mengakui pertemuannya dengan Epstein untuk makan bersama atas tujuan amal adalah satu kesilapan.
Sumber: Daily Mail

You must be logged in to post a comment Login