Terkini
Kabinet persembah cadangan kukuhkan penguatkuasaan kalimah Allah kepada Majlis Raja-Raja
Jemaah Menteri hari ini mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mempersembahkan cadangan-cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah ‘Allah’ kepada Majlis Raja-Raja.
- Jemaah Menteri hari ini mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mempersembahkan cadangan-cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah ‘Allah’ kepada Majlis Raja-Raja.
- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pada masa sama, perpaduan dan keharmonian di antara kaum dan agama di Malaysia diperkukuhkan.
- “Jemaah Menteri menegaskan bahawa Kerajaan menghormati, memperakui dan menerima pakai ketetapan enakmen negeri- negeri dan titah Yang di-Pertuan Agong pada 7 Februari 2023 yang menzahirkan agar dikekalkan dasar sedia ada yang sedang berkuat kuasa berhubung isu penggunaan kalimah Allah.
- “Kerajaan akan senantiasa mempertahan Perlembagaan Persekutuan terutama Perkara 3 berhubung agama Islam adalah agama Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai,” katanya dalam satu kenyataan selepas Mesyuarat Kabinet di sini hari ini.
PUTRAJAYA – Jemaah Menteri hari ini mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mempersembahkan cadangan-cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah ‘Allah’ kepada Majlis Raja-Raja.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pada masa sama, perpaduan dan keharmonian di antara kaum dan agama di Malaysia diperkukuhkan.
“Jemaah Menteri menegaskan bahawa Kerajaan menghormati, memperakui dan menerima pakai ketetapan enakmen negeri- negeri dan titah Yang di-Pertuan Agong pada 7 Februari 2023 yang menzahirkan agar dikekalkan dasar sedia ada yang sedang berkuat kuasa berhubung isu penggunaan kalimah Allah.
“Kerajaan akan senantiasa mempertahan Perlembagaan Persekutuan terutama Perkara 3 berhubung agama Islam adalah agama Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai,” katanya dalam satu kenyataan selepas Mesyuarat Kabinet di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar memberitahu, Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini membincangkan keputusan Peguam Negara untuk menarik balik rayuan terhadap kes Jill Ireland berhubung bahan penerbitan yang mengandungi kalimah ‘Allah’.
“Jemaah Menteri mengambil maklum bahawa keputusan yang dibuat hanya berkisar soal pentadbiran dan tidak merubah ketetapan Mahkamah Persekutuan pada tahun 2014,” ujarnya.
Semalam, Menteri dari UMNO bercadang untuk membangkitkan isu penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh penganut Kristian pada mesyuarat mingguan Kabinet hari ini.
Ketua Penerangan parti itu, Datuk Seri Azalina Othman Said dalam satu kenyataan berkata, isu tersebut mesti dibincangkan memandangkan kerajaan terus menerima keputusan menarik balik rayuannya berhubung keputusan Mahkamah Tinggi.
Beliau menegaskan, isu berkenaan perlu ditangani dengan berhati-hati kerana ia melibatkan sensitiviti agama, kebebasan beragama dan keharmonian rakyat berbilang kaum di Malaysia.
Pada masa sama, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan kerajaan menarik balik rayuan kes Jill Ireland disebabkan berlaku percanggahan arahan pentadbiran KDN dan Kabinet pada tahun 1986.
Menurutnya, ia melibatkan percanggahan perundangan sivil berkaitan rampasan bahan penerbitan ketika itu dan bukannya isu teologi melibatkan penggunaan kalimah ‘Allah’.
Sumber: MalaysiaGazette