Terkini
JKM tutup tiga cawangan taska terlibat kes dera
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menutup serta-merta operasi taska yang dipercayai terlibat dalam kes penderaan dua bayi di Mutiara Rini, Skudai di sini selepas disahkan tidak mempunyai lesen.
- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menutup serta-merta operasi taska dipercayai terlibat dalam kes penderaan dua bayi di Mutiara Rini, Skudai selepas disahkan tidak mempunyai lesen.
- Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin-Nisa Ismail berkata, dua cawangan lain taska itu di Jalan Abdul Samad dan Gelang Patah turut ditutup dan pihaknya telah meninjau taska berkenaan serta bertemu dengan pengusaha bagi mendapatkan penjelasan lanjut.
- “Saya dapati taska berkenaan belum mendapatkan lesen daripada JKM kerana belum menerima kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan, Jabatan Kesihatan Negeri Johor dan bomba. Kalau tiada kebenaran daripada tiga pihak ini, JKM memang tidak boleh keluarkan lesen. Sebelum ini pun kita dah nasihatkan supaya tidak beroperasi tanpa lesen tapi pengusaha berdegil dan tetap beroperasi juga,” katanya.
JOHOR BAHRU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menutup serta-merta operasi taska yang dipercayai terlibat dalam kes penderaan dua bayi di Mutiara Rini, Skudai di sini selepas disahkan tidak mempunyai lesen.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin-Nisa Ismail berkata, dua cawangan lain taska itu di Jalan Abdul Samad dan Gelang Patah turut ditutup dan pihaknya telah meninjau taska berkenaan serta bertemu dengan pengusaha bagi mendapatkan penjelasan lanjut.
“Saya dapati taska berkenaan belum mendapatkan lesen daripada JKM kerana belum menerima kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan, Jabatan Kesihatan Negeri Johor dan bomba. Kalau tiada kebenaran daripada tiga pihak ini, JKM memang tidak boleh keluarkan lesen. Sebelum ini pun kita dah nasihatkan supaya tidak beroperasi tanpa lesen tapi pengusaha berdegil dan tetap beroperasi juga.
“Sehubungan itu, ketiga-tiga rangkaian taska berkenaan ditutup serta-merta oleh JKM negeri di bawah Seksyen 20a Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984,” katanya selepas melakukan lawatan ke taska berkenaan, hari ini.
Jika sabit kesalahan, pengusaha taska tersebut boleh didenda RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Khairin-Nisa berkata, pengusaha tersebut dipercayai telah memohon lesen awal tahun ini dan telah beroperasi secara haram selama tiga hingga empat bulan ini.
“Saya menasihati ibu bapa yang menghantar anak-anak ke taska supaya menyemak sendiri dengan JKM sama ada tempat yang dihantar mempunyai lesen menjaga kanak-kanak,” katanya.
Pengasuh yang merupakan suspek dalam kes itu telah ditahan reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
Dalam salah satu rakaman video yang tular, suspek dilihat mengangkat mangsa pada ketinggian sederhana sebelum dilepaskan beberapa kali dipercayai geram kerana mangsa menangis berterusan, manakala video kedua, suspek telah menepuk kepala mangsa beberapa kali selain turut meniup muka mangsa. – UTUSAN
Sumber: Utusan Malaysia