Connect with us

Terkini

Tingkatkan gaji minimum bagi imbangi pendapatan dengan kos sara hidup – Pakar

Kadar gaji minimum di negara ini perlu ditingkatkan bagi mengimbangi antara pendapatan rakyat dengan kos sara hidup yang tinggi ketika ini, kata Pensyarah Kanan Politik Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah, Prof Madya Dr Firdausi Suffian.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Tingkatkan gaji minimum bagi imbangi pendapatan dengan kos sara hidup – Pakar
Foto: Gambar sekadar hiasan.

  • Kadar gaji minimum di negara ini perlu ditingkatkan bagi mengimbangi antara pendapatan rakyat dengan kos sara hidup yang tinggi ketika ini, kata Pensyarah Kanan Politik Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah, Prof Madya Dr Firdausi Suffian.
  • Katanya kadar gaji minimum itu juga perlu ditingkatkan mengikut perkembangan ekonomi negara kerana pendekatan itu boleh merancakkan aktiviti ekonomi sekali gus menyumbang kepada usaha menurunkan kadar kemiskinan di negara ini.
  • “Ini penting, sekiranya gaji masih sama, saya khuatir kelompok dalam M40 mahupun B40 akan tercicir dalam mendapatkan akses, kehidupan yang baik,” katanya ketika dihubungi BERNAMA TV.
  • Katanya, Sabah yang mempunyai kadar kemiskinan tertinggi iaitu 25 peratus perlu diberi fokus dan memerlukan intervensi kerajaan bagi mengecilkan jurang pendapatan antara rakyat di negeri itu dengan penduduk di Semenanjung.

KUALA LUMPUR: Kadar gaji minimum di negara ini perlu ditingkatkan bagi mengimbangi antara pendapatan rakyat dengan kos sara hidup yang tinggi ketika ini, kata Pensyarah Kanan Politik Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah, Prof Madya Dr Firdausi Suffian.

Katanya kadar gaji minimum itu juga perlu ditingkatkan mengikut perkembangan ekonomi negara kerana pendekatan itu boleh merancakkan aktiviti ekonomi sekali gus menyumbang kepada usaha menurunkan kadar kemiskinan di negara ini.

“Ini penting, sekiranya gaji masih sama, saya khuatir kelompok dalam M40 mahupun B40 akan tercicir dalam mendapatkan akses, kehidupan yang baik,” katanya ketika dihubungi BERNAMA TV.

Mengenai iltizam kerajaan menoktahkan kadar kemiskinan tegar dalam negara pada tahun ini, Firdausi yang juga Timbalan Rektor Bahagian Hal Ehwal Akademik UiTM Cawangan Sabah, berkata beliau bersetuju dengan inisiatif kerajaan mensentralisasikan beberapa negeri yang perlu diberi fokus.

Katanya, Sabah yang mempunyai kadar kemiskinan tertinggi iaitu 25 peratus perlu diberi fokus dan memerlukan intervensi kerajaan bagi mengecilkan jurang pendapatan antara rakyat di negeri itu dengan penduduk di Semenanjung.

Menurut Firdausi nisbah jurang pendapatan antara rakyat Negeri di Bawah Bayu itu dengan Semenanjung semakin ketara dengan pertumbuhan gaji yang perlahan menyebabkan ribuan golongan muda Sabah berhijrah ke Semenanjung mencari pekerjaan.

“Kalau kita lihat secara nisbah, 1:4 orang Sabah itu miskin dan menjadikan peratusan pekerjaan tidak begitu berkembang seperti negeri-negeri lain.

“Kerana itu Sabah masih mempunyai fenomena ‘underemployment’ iaitu graduan yang mempunyai ijazah sarjana pun sanggup bekerja sebagai kerani kerana mahu mendapat kerja di Semenanjung,” jelasnya.

Menyentuh mengenai isu kemiskinan tegar di negara ini, beliau yang juga Pakar Panel-panel Kementerian Belia dan Sukan berkata akses golongan itu terhadap kemudahan kesihatan, makanan seimbang dan untuk memiliki rumah sendiri juga harus diberikan perhatian.

Akses kepada keperluan asas berkenaan turut perlu dijadikan panduan dalam penilaian dan menentukan taraf sosio-ekonomi rakyat di negara ini dan bukannya berdasarkan pendapatan semata-mata.

“Misalnya, kalau sebuah keluarga mempunyai lima orang anak dengan (rumah) tiga bilik, adakah kebajikan anak-anak ini dijaga, mendapat akses pendidikan yang baik? Jadi tempat tinggal pun diambil kira sebagai kadar ukuran kemiskinan.

“Aspek pemakanan juga penting, kita tidak boleh melihat kepada aspek pendapatan sahaja. Nutrisi yang didapati itu memberi indikasi bahawa adakah individu itu seorang yang sihat? Begitu juga akses bagaimana anak-anak pergi ke sekolah. Adakah jarak sekolah dan rumah jauh? Semua ini diambil kira,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Tengku Azman Tengku Zainol Abidin yang sependapat dengan Firdausi mengenai kadar gaji minimum, dengan mencadangkan agar diwujudkan lebih banyak ruang pekerjaan di kawasan desa.

Ia bagi mengimbangi hak dan peluang penduduk desa yang telah berhijrah ke bandar untuk pulang dan ‘menuai’ pendapatan di sana.

“Sektor pertanian adalah satu sektor yang menguntungkan, justeru kerjasama kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri penting bagi mengusahakan pertanian moden dengan mengoptimumkan penggunaan tanah-tanah yang terbiar,” katanya. 

Sumber: Bernama

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *