Terkini
(VIDEO) Siasat video wanita warga China tuduh polis Malaysia minta rasuah – Firdaus Wong
Susulan tular video seorang wanita warga China yang mendakwa polis Malaysia meminta rasuah, pendakwah bebas, Firdaus Wong menyuarakan keraguan terhadap beberapa dakwaan di dalam video tersebut.
Susulan tular video seorang wanita warga China yang mendakwa polis Malaysia meminta rasuah, pendakwah bebas, Firdaus Wong menyuarakan keraguan terhadap beberapa dakwaan di dalam video tersebut.
Menerusi perkongsian video di Tiktok, Firdaus berkata yang pihaknya ada menyelidik lebih mendalam terhadap dakwaan wanita itu, terutamanya berkenaan tiga nombor telefon yang dihubunginya untuk meminta bantuan.
View this post on Instagram
“Nombor pertama yang beliau paparkan di dalam video itu, dia kata itu adalah Kedutaan Besar China di Malaysia. Tetapi nombor pertama yang dihubungi itu, setelah kami buat sedikit background check, itu sebenarnya adalah satu nombor telefon sebuah kedai butik.
“Nombor yang kedua itu, jika ditambah local code 03, maka itu memang nombor Kedutaan Besar China,” kata Firdaus.
Bagaimanapun kemusykilan tetap berlaku apabila wanita itu tidak menyertakan kod tempatan pada nombor telefon itu, kata Firdaus.
Nombor yang ketiga pula menambahkan kemusykilan apabila Firdaus mendapati ia adalah nombor telefon sebuah kedai sushi.
Susulan itu, Firdaus meminta salah seorang kakitangannya yang berbangsa Cina, Adam Tan untuk menyelidik laman sosial wanita itu dan mendapati video berkenaan telah dipadamkan.
Adam kemudian diminta untuk meninggalkan satu komen di laman sosial itu bertanyakan di manakah video yang menuduh polis Malaysia menerima rasuah itu.
Bagaimanapun komen Adam itu telah dipadamkan, malah beliau turut disekat dari laman sosial tersebut.
Susulan kesangsian itu, Firdaus menggesa perkara itu disiasat pihak berkuasa.
“Jikalau benar tuduhan dia, maka siasatan harus dilakukan. Tetapi jikalau tuduhannya tidak benar, maka individu ini perlu disiasat kerana melemparkan satu fitnah kepada pihak berkuasa di Malaysia,” katanya.
Terdahulu, tular sebuah video seorang wanita warga China mendakwa ditahan anggota polis kerana tidak membawa pasport ketika menaiki sebuah teksi di Malaysia, namun dilepaskan selepas membayar RM200 kepada anggota polis itu.
Dia juga menyebut yang menurut sahabat warganegara Malaysia yang bersamanya ketika itu, pihak polis biasanya akan membawa individu yang ditahan ke mesin juruwang automatik (ATM) berdekatan untuk mengeluarkan wang jika dia tidak mempunyai wang tunai ketika itu.
Namun, tiada sebarang bukti mengesahkan segala dakwaannya itu yang disertakan di dalam video yang dikatakan tular di China itu. – The Merdeka Times
Sumber: Tiktok Firdaus Wong