Terkini
Kerajaan perpaduan akan teruskan agenda RUU355 – Menteri Agama
Kerajaan bercadang untuk meneruskan perancangan pentadbiran terdahulu mengenai pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU 355.
- Kerajaan bercadang meneruskan perancangan pentadbiran terdahulu mengenai pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah).
- Cadangan pindaan undang-undang untuk memperkasakan mahkamah syariah itu akan dibentangkan di Parlimen pada masa yang ditetapkan.
- Ia akan dilakukan serentak dengan pembentangan rang undang-undang lain untuk memperkenalkan akta baharu, yang dicadangkan sebagai Akta Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.
- Demikian menurut jawapan bertulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar di Dewan Rakyat semalam.
Kerajaan bercadang untuk meneruskan perancangan pentadbiran terdahulu mengenai pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU 355.
Menurut jawapan bertulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar semalam, cadangan pindaan undang-undang untuk memperkasa mahkamah syariah itu akan dibentangkan di Parlimen pada masa yang ditetapkan.
Memetik laporan The Vibes, ia akan dilakukan serentak dengan pembentangan rang undang-undang lain untuk memperkenalkan akta baharu, yang dicadangkan sebagai Akta Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.
Bagaimanapun, beliau belum mengesahkan di persidangan parlimen mana perkara itu akan dibentangkan.
“Kedua-dua rang undang-undang itu akan dibentangkan bersama di Parlimen selepas mendapat kelulusan kabinet, bagi memastikan matlamat kami untuk memperkasakan mahkamah syariah dapat direalisasikan'” kata beliau ketika menjawab soalan Hassan Saad (Baling-PN) mengenai garis masa kerajaan untuk pembentangan RUU 355.
Ketika ucapan penggulungan Belanjawan 2023 di peringkat dasar minggu lalu, Na’im berkata pihaknya sedang menyediakan kertas kabinet bagi mendapatkan kelulusan kerajaan supaya rang undang-undang itu dibentangkan di Parlimen.
Beliau juga menyatakan sudah lebih 30 tahun Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 tidak dipinda.
Ini bagi menjawab soalan yang dibangkitkan Datuk Ahmad Marzuk Shaary (Pengkalan Chepa-PN) mengenai status rang undang-undang itu dengan ahli parlimen PAS itu turut menyatakan cadangan pindaan undang-undang terbabit hanya selangkah untuk dibentangkan di Parlimen oleh kerajaan terdahulu, sebelum Dewan Rakyat dibubarkan.
RUU355 adalah rang undang-undang persendirian dibawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 2016 untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 bagi memberi kuasa penguatkuasaan yang lebih besar kepada undang-undang.
Beliau mencadangkan supaya hukuman maksimum bagi kesalahan jenayah syariah dinaikkan kepada 30 tahun penjara, denda RM100,000 dan 100 sebatan berbanding hukuman maksimum sedia ada iaitu penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan enam sebatan.
Walaupun rang undang-undang itu dibentangkan, namun ia tidak pernah dibahaskan di Dewan Rakyat.
Sumber: The Vibes