Antarabangsa
(VIDEO) Gempa bumi di Turkiye-Syria adalah ‘hukuman Tuhan’ akibat aniaya Yahudi – Rabbi zionis
Seorang rabbi kontroversi Israel, Shmuel Eliyahu telah mengeluarkan kenyataan mencetuskan kemarahan apabila mendakwa gempa bumi yang melanda Turkiye dan Syria pada Isnin adalah “keadilan ilahi”.
Seorang rabbi kontroversi Israel, Shmuel Eliyahu telah mengeluarkan kenyataan mencetuskan kemarahan apabila mendakwa gempa bumi yang melanda Turkiye dan Syria pada Isnin adalah “keadilan ilahi”.
Dia yang merupakan ketua Rabbi Safed di utara Israel dan juga ahli Majlis Ketua Rabbinate, mendakwa bahawa bencana itu merupakan hukuman Tuhan akibat penganiayaan negara-negara terbabit terhadap orang Yahudi, demikian lapor Middle East Eye.
“Tuhan sedang menghakimi semua negara di sekeliling kita yang ingin menyerang tanah kita dan mencampakkan kita ke dalam laut,” tulis Shmuel dalam ruangan op-ed (ruangan pandangan peribadi) diterbitkan akhbar Olam Katan pada hari Jumaat.
View this post on Instagram
Menerusi ruangan itu, Shmuel turut mendakwa Syria telah “mendera penduduk Yahudinya selama ratusan tahun, tiga kali menyerang Israel, menembak petani yang tinggal di kaki Bukit Golan sejak bertahun, mendera tawanan dan menggantung Eli Cohen (mata-mata Israel)”.
Dia juga menulis tentang Lubnan yang turut terkesan oleh gempa bumi serta krisis kewangan.
“Tidak dinafikan bahawa negara, yang pernah menjadi ‘Switzerland Timur Tengah’ telah menjadi neraka di bumi, dan perkara seperti itu tidak berlaku secara kebetulan”.
Untuk Turkiye yang menjadi pusat gempa itu, Shmuel menulis, “Kita tidak tahu apa halnya dengan Turkiye, yang memfitnah kita di setiap arena yang mungkin, tetapi jika Tuhan mendedahkan bahawa Dia akan membuat penghakiman pada musuh kita, kita tahu bahawa semua yang berlaku adalah untuk membersihkan dunia dan menjadikannya lebih baik.”
Sekurang-kurangnya 28,000 orang terbunuh dalam gempa bumi berukuran 7.8 magnitud Isnin lalu, dengan seramai 18 juta orang terjejas di selatan Turkiye dan utara Syria.
Shmuel, yang merupakan bapa kepada ahli parlimen sayap kanan dan menteri warisan Israel, Amihai Ben-Eliyahu, telah berulang kali mencetuskan kontroversi dengan kenyataannya yang berunsur anti-Palestin dan Arab serta didakwa kerana hasutan perkauman.
Sumber: Middle East Eye