Terkini
Mini konsert dalam majlis konvokesyen tidak melambangkan martabat ilmu – Asyraf Wajdi
Sekumpulan ibu bapa bersetuju dengan pandangan yang dilontarkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi laman Facebooknya semalam yang mengatakan hiburan seperti selingan nyanyian atau persembahan ala mini konsert dalam mana-mana majlis konvokesyen universiti tidak melambangkan martabat ilmu dan adab.
- Ini sebagai reaksi terhadap pandangan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang dikongsikan di laman Facebook rasmi beliau semalam.
- Menurutnya, hiburan seperti nyanyian atau persembahan ala mini konsert dalam majlis konvokesyen universiti tidak melambangkan martabat ilmu dan adab.
- Berkongsi pengalamannya, Asyraf Wajdi menerima ijazah bagi peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD) di Barat dalam keadaan “cukup tertib dan berhemat”.
KUALA LUMPUR – Sekumpulan ibu bapa bersetuju dengan pandangan yang dilontarkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi laman Facebooknya semalam yang mengatakan hiburan seperti selingan nyanyian atau persembahan ala mini konsert dalam mana-mana majlis konvokesyen universiti tidak melambangkan martabat ilmu dan adab.
Asyraf Wajdi juga berkongsikan pengalamannya dua kali menerima ijazah bagi peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD) di England yang mana majlis istiadat konvokesyen bertempat di Barat itu dijalankan dalam keadaan “cukup tertib dan berhemat”.
Sehubungan dengan itu, pemilik akaun Mak Nah Shahrul Zamzuri mendedahkan hakikat ibu bapa yang menghadiri majlis konvokesyen bertujuan untuk melihat kejayaan anak-anak mereka semata-mata.
Pengguna Sataruddin Mohamad Saya pula berkata mereka bukan mahu menonton “show” pada majlis konvokesyen graduan di institusi pengajian tinggi.
“Banyak sangat ke budget UNIVERSITI itu. Kalau banyak sangat cuba-cuba fikir cara bantu student. Emak bapak student ini bukan semuanya BERADA,” katanya.
Sementara itu, pemilik akaun Datuk Paduka Seri bersetuju jika istiadat konvokesyen diiringi dengan alunan muzik daripada gamelan sahaja.
Pemilik akaun Lia Abdullah juga merungut “penat” apabila terpaksa berhadapan dengan situasi waktu majlis konvokesyen dipanjangkan semata-mata untuk slot nyanyian yang disifatkan “merepek”.
“Bayangkan kalau ada 4 atau 5 anak majlis konvo tahun demi tahun nak hadap benda tak perlu. Sesak trafik dan ketiadaan tempat rehat itu satu hal.
“Sebab itu ibu bapa walau tau lelah dan letih majlis macam ini tapi demi nak raikan anak, hadap lah juga. Cuma harap pihak universiti fahamlah. Parents nak hadir konvo bukan konsert,” katanya.
Dalam pada itu, Rizal Rosli berkata istiadat konvokesyen bertujuan untuk mengiktiraf kesarjanaan dan keilmuan, selain menghargai penat lelah pelajar-pelajar serta ibu bapa yang berkorban segalanya demi ilmu.
“Majlis ini mengangkat universiti sebagai tonggak institusi masyarakat dalam perkembangan ilmu dan pengetahuan. Sudah-sudahlah kita dipengaruhi oleh hiburan yang tidak kena tempat dan masa,” katanya.– The Merdeka Times
Sumber: Dr Asyraf Wajdi Dusuki