Antarabangsa
“Kami setakat ini gagal bantu rakyat di barat laut Syria,” – PBB
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecam kegagalan untuk memperoleh bantuan yang sangat diperlukan untuk wilayah Syria yang sedang dalam peperangan.
- “Kami setakat ini gagal bantu rakyat di barat laut Syria. Mereka betul-betul berasa seperti ditinggalkan kerana cari bantuan antarabangsa belum tiba.” – Ketua bantuan agensi PBB, Martin Griffiths
- “Tugas saya dan kewajipan kami untuk perbetulkan kegagalan ini secepat yang kami boleh,” katanya.
- Di Syria 5.3 juta orang dianggarkan kehilangan tempat tinggal.
- Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hampir 26 juta orang terkesan akibat gempa bumi sambil merayu dana sebanyak AS$42.8 juta (RM185.3 juta) bagi menampung keperluan kesihatan segera selepas puluhan hospital rosak.
KAHRAMANMARAS: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecam kegagalan untuk memperoleh bantuan yang sangat diperlukan untuk wilayah Syria yang sedang dalam peperangan.
Susulan itu, pertubuhan antarabangsa itu memberi amaran angka kematian yang direkodkan kini hampir 30,000 orang akibat gempa bumi kuat boleh meningkat berkali ganda.
Meskipun konvoi PBB dengan bekalan sudah tiba di barat laut Syria melalui Turkiye, namun ketua bantuan agensi itu, Martin Griffiths, berkata lebih banyak bantuan diperlukan untuk berjuta-juta rumah yang musnah.
“Kami setakat ini gagal membantu rakyat di barat laut Syria. Mereka betul-betul berasa seperti ditinggalkan kerana mencari bantuan antarabangsa yang belum tiba.
“Tugas saya dan kewajipan kami untuk memperbetulkan kegagalan ini secepat yang kami boleh,” katanya di Twitter.
Bantuan tiba lewat di Syria di mana konflik bertahun lamanya merosakkan sistem penjagaan kesihatan negara itu.
Selain itu, beberapa kawasan negara yang kekal di bawah penguasaan pemberontak sedang berperang dengan kerajaan pimpinan Presiden Bashar al-Assad, yang disekat Barat.
Menurut wartawan AFP di lapangan, konvoi PBB membabitkan 10 trak melintasi barat laut Syria menerusi sempadan Bab al-Hawa.
Mereka membawa kit perlindungan termasuk cadar plastik, tali, skru, paku, selimut, tilam dan karpet.
Puluhan ribu anggota penyelamat terus menjelajah kawasan kejiranan yang ‘rata’ akibat gempa kuat dalam cuaca sejuk.
Berjuta-juta penduduk yang hidup sengsara terdesak memerlukan bantuan.
Namun, kebimbangan mengenai tahap keselamatan mendorong penggantungan beberapa operasi, bahkan puluhan orang ditangkap kerana merompak dan cuba menipu mangsa gempa bumi di Turkiye, lapor media tempatan.
PBB memberi amaran sekurang-kurangnya 870,000 orang memerlukan segera bantuan makanan panas di seluruh Turkiye dan Syria.
Di Syria saja, sehingga 5.3 juta orang dianggarkan kehilangan tempat tinggal.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hampir 26 juta orang terkesan akibat gempa bumi itu sambil merayu dana sebanyak AS$42.8 juta (RM185.3 juta) bagi menampung keperluan kesihatan segera selepas puluhan hospital rosak.
Sementara itu, Agensi Bencana Turkiye memaklumkan, lebih 32,000 orang meliputi pertubuhan negara itu terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa, bersama 8,294 penyelamat antarabangsa. – AFP
Sumber: Berita Harian