Terkini
Sekolah kebangsaan diperkasa mampu tangani isu sekolah Cina, UEC – Ahli Akademik
Sekolah kebangsaan di Malaysia perlu diperkasakan untuk menangani isu pendidikan seperti sekolah Cina dan Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Persendirian Cina (UEC) yang dibangkitkan Dong Zong sebelum ini.
- Ahli Akademik, Dato Dr Mohammad Agus Yusoff berkata, dengan memperbaiki sistem pendidikan di Malaysia kita dapat mengekang ekstremisme.
- Beliau melihat isu pendidikan seolah-olah gagal menemui penyelesaian sekalipun pelbagai tampuk pemerintahan atau pemimpin bertukar ganti, namun isu seperti UEC, pendidikan Cina tiada perubahan.
- “Better resources, better teachers, better system, satu sesi (persekolahan) di akhirnya kalau kita mahu untuk mengurangkan ibu bapa hantar ke sekolah swasta ke sekolah bukan Melayu ini perbaiki sistem pendidikan dengan hal lain seperti ini,” katanya dalam klip video dikongsikan akaun TikTok duniamelayu, semalam.
- Isu pendidikan ini hanya dapat diselesaikan sepenuhnya sekiranya semua pemimpin negara khususnya parti-parti politik di Malaysia bersatu hati untuk menyelesaikannya.
KUALA LUMPUR – Sekolah kebangsaan di Malaysia perlu diperkasakan untuk menangani isu pendidikan seperti sekolah Cina dan Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Persendirian Cina (UEC) yang dibangkitkan Dong Zong sebelum ini.
Ahli Akademik, Dato Dr Mohammad Agus Yusoff berkata, dengan memperbaiki sistem pendidikan di Malaysia kita dapat mengekang ekstremisme.
Beliau melihat isu pendidikan seolah-olah gagal menemui penyelesaian sekalipun pelbagai tampuk pemerintahan atau pemimpin bertukar ganti, namun isu seperti UEC, pendidikan Cina tiada perubahan.
Katanya, permasalahan ini berlanjutan juga berikutan sistem pendidikan kita tiada unsur bertolak ansur dan tidak fokus dalam menyelesaikan isu terkait.
“Benda ini mudah kita selesaikan sebenarnya kalau kita ada better resources, ada better teachers untuk sekolah kerajaan, kalau kita boleh buat sekolah satu sesi banyak masalah boleh selesai, tetapi kenapa orang pergi hantar (anak) ke sekolah Cina?
“Ramai orang Melayu hantar (anak) ke sekolah Cina, sepupu saya hantar anak ke sekolah Cina saya tanya kenapa?
“Better resources, better teachers, better system, satu sesi (persekolahan) di akhirnya kalau kita mahu untuk mengurangkan ibu bapa hantar ke sekolah swasta ke sekolah bukan Melayu ini perbaiki sistem pendidikan dengan hal lain seperti ini,” katanya dalam klip video dikongsikan akaun TikTok duniamelayu, semalam.
Menurutnya, hanya melalui usaha sebegitu kita akan melihat secara perlahan-lahan isu sekolah Cina ini terhapus selepas sekolah kebangsaan diperkasakan.
Bagaimanapun, katanya, isu pendidikan ini hanya dapat diselesaikan sepenuhnya sekiranya semua pemimpin negara khususnya parti-parti politik di Malaysia bersatu hati untuk menyelesaikannya.
Media sebelum ini melaporkan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) sekali lagi membangkitkan gesaan yang pernah dibuat ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), beberapa tahun lalu supaya UEC diiktiraf.
Gesaan itu mendapat pelbagai reaksi di mana sebahagian pihak menegaskan pendirian bahawa UEC bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550). – The Merdeka Times
Sumber : Tiktok @duniamelayu