Terkini
Pengetua, guru besar wajib ikut SOP pengeluaran wang tunai
Pengetua atau guru besar wajib mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang sudah ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengenai tatacara pengeluaran wang tunai.
- Pengetua atau guru besar wajib mematuhi SOP ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengenai tatacara pengeluaran wang tunai.
- Menurut pekeliling KPM berkaitan pengeluaran wang tunai, pihak sekolah wajib mematuhi tatacara pengeluaran wang tunai daripada bank dengan cara selamat dan mematuhi peraturan kewangan semasa.
- “Pengeluaran wang tunai hingga RM10,000 oleh pengetua atau guru besar hendaklah diiringi dua guru.
- “Seterusnya, bagi pengeluaran wang tunai yang melebihi RM10,000 pula perlu mendapatkan perkhidmatan polis pengiring (jika perlu).” – KPM
KUALA LUMPUR: Pengetua atau guru besar wajib mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang sudah ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengenai tatacara pengeluaran wang tunai.
Menurut pekeliling KPM berhubung pengeluaran wang tunai, pihak sekolah wajib mematuhi tatacara pengeluaran wang tunai daripada bank dengan cara selamat dan mematuhi peraturan kewangan semasa.
“Pengeluaran wang tunai hingga RM10,000 oleh pengetua atau guru besar hendaklah diiringi dua guru.
“Seterusnya, bagi pengeluaran wang tunai yang melebihi RM10,000 pula perlu mendapatkan perkhidmatan polis pengiring (jika perlu).
“Tindakan ini diambil di bawah Arahan Perbendaharaan (AP137) mengenai Tanggungjawab Bagi Wang Tunai Dalam Perjalanan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, seorang guru besar berputih mata selepas wang bantuan awal persekolahan berjumlah lebih RM109,000 yang diperuntukkan untuk sebuah sekolah di Beranang, Selangor hilang, apabila dilarikan penjenayah.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan dilaporkan berkata wang berkenaan baru saja dikeluarkan guru besar sekolah berkenaan sebelum cermin kenderaannya dipecahkan ketika pergi membeli minuman.
“Guru besar berusia 50 tahun itu berseorangan mengeluarkan wang tunai RM109,000 dari sebuah bank di kawasan Kampung Baru Semenyih.
“Selepas mangsa mengeluarkan wang berkenan dan meletakkan dalam sebuah beg, mangsa meninggalkan beg dalam kenderaan jenis Toyota di bahagian tempat duduk hadapan sebelah penumpang, sebelum ke sebuah restoran untuk membeli minuman.
“Selang hampir 10 minit apabila kembali ke kenderaan, mangsa mendapati cermin keretanya dipecahkan di bahagian kanan penumpang belakang, dan beg yang berisi wang tunai dicuri,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Sumber: Berita Harian