Terkini
Melaka gubal garis panduan operasi pengurusan jenazah libatkan NGO, elak penipuan
- Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata garis panduan berkenaan bertujuan mengelak NGO pengurusan jenazah di negeri itu mengambil kesempatan terhadap waris dengan bayaran tidak munasabah atau menipu atas tiket amal kebajikan yang dilakukan, seperti yang tular baru-baru ini melibatkan pengurusan sebuah NGO van jenazah di negeri itu.
- Beliau berkata salah satu syarat yang ditetapkan dalam garis panduan berkenaan ialah NGO terlibat perlu berdaftar di bawah MAIM dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) bagi memudahkan pemantauan termasuk dari segi bayaran yang dikenakan bagi perkhidmatan ditawarkan atau memudahkan audit dilakukan sekiranya perlu.
MELAKA — Kerajaan negeri Melaka melalui Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) akan menggubal garis panduan operasi pengurusan jenazah terutamanya melibatkan badan bukan kerajaan (NGO) di negeri itu, dalam masa terdekat ini.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata garis panduan berkenaan bertujuan mengelak NGO pengurusan jenazah di negeri itu mengambil kesempatan terhadap waris dengan bayaran tidak munasabah atau menipu atas tiket amal kebajikan yang dilakukan, seperti yang tular baru-baru ini melibatkan pengurusan sebuah NGO van jenazah di negeri itu.
Beliau berkata salah satu syarat yang ditetapkan dalam garis panduan berkenaan ialah NGO terlibat perlu berdaftar di bawah MAIM dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) bagi memudahkan pemantauan termasuk dari segi bayaran yang dikenakan bagi perkhidmatan ditawarkan atau memudahkan audit dilakukan sekiranya perlu.
“Setelah berlaku perkara berkenaan seperti yang tular di media sosial (sebelum ini), kita melihat ada keperluan penting untuk mewujudkan garis panduan operasi pengurusan jenazah termasuk van jenazah di negeri ini bagi mengelak NGO terlibat mengambil kesempatan ke atas waris yang meninggal dunia dan menjaga nama baik atau imej agama Islam itu sendiri.
“Sekiranya NGO terlibat ingin mengenakan caj (bayaran) atas perkhidmatan yang ditawarkan, mereka perlu memaklumkannya dengan jelas kepada pihak waris… jika percuma sepatutnya tiada bayaran boleh dituntut oleh NGO tersebut namun mereka boleh menerima wang atas budi bicara waris,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Guru 2026 dan Anugerah Kecemerlangan Akademik Sekolah Agama Sesi 2025 Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas pendedahan berkaitan sebuah NGO van jenazah di Melaka yang mendakwa menawarkan perkhidmatan percuma atas tiket amal tetapi meminta bayaran yang agak tinggi daripada waris selepas selesai perkhidmatan penghantaran jenazah yang dilakukan.
Rahmad berkata NGO terbabit tidak berdaftar di bawah MAIM atau RoS dan operasi pengurusan van jenazah dilakukan tanpa pengetahuan MAIM.
“Saya amat kesal dengan perkara yang berlaku dan saya berpendapat ia tidak seharusnya terjadi… seolah-olah berlaku penipuan. Sekiranya keluarga waris terlibat tidak berpuas hati, mereka disaran membuat laporan polis,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata petugas MAIM ada ditempatkan di semua hospital di negeri itu dan waris keluarga yang meninggal dunia boleh merujuk perkhidmatan atau mendapatkan pandangan berkaitan pengurusan jenazah yang disediakan.
Selain itu, katanya, MAIM turut menyediakan van jenazah secara percuma di hospital untuk pengurusan dalam negeri Melaka tetapi sedikit bayaran dikenakan untuk penghantaran ke luar Melaka.
Sementara itu, Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem menerusi hantaran di laman Facebook hari ini berkata beliau memandang serius perkara berkenaan dan satu pertemuan telah diatur antara wakil pihaknya dengan wakil NGO pengurusan van jenazah terbabit.
Katanya, NGO berkenaan mengaku kesalahan yang dilakukan termasuk meminta bayaran dari waris untuk menampung kos operasinya dan telah bersetuju menghentikan operasi mereka serta-merta.
— BERNAMA