Terkini
Sultan bukan ‘rubber stamp’, Raja ada peranan semak imbang – Pakar
- Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata, peranan Sultan dan Raja merangkumi tanggungjawab yang jauh lebih besar daripada sekadar memenuhi tuntutan formaliti atau bertindak sebagai ‘rubber stamp’ kepada keputusan kerajaan negeri.
- “Dari aspek undang-undang perlembagaan, titah Baginda yang di luar kuasa budi bicara mungkin tidak mengikat secara perundangan, namun ia harus dianggap sebagai pandangan dan nasihat yang amat berharga kepada pentadbiran negeri, khususnya kepada Menteri Besar dan EXCO. Pandangan tersebut datangnya daripada seorang pemerintah yang mempunyai pengalaman yang sangat luas dalam hal ehwal negeri Selangor,” jelas beliau ketika dihubungi The Merdeka Times hari ini.
KUALA LUMPUR – Tafsiran terhadap konsep Raja Berperlembagaan tidak seharusnya disempitkan hanya kepada prinsip bertindak atas nasihat eksekutif semata-mata.
Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata, peranan Sultan dan Raja merangkumi tanggungjawab yang jauh lebih besar daripada sekadar memenuhi tuntutan formaliti atau bertindak sebagai ‘rubber stamp’ kepada keputusan kerajaan negeri.
Selain memiliki kuasa budi bicara dalam perkara seperti pelantikan Menteri Besar dan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), menurut beliau, fungsi Baginda sebenarnya meliputi pengawasan terhadap keseluruhan aspek pentadbiran negeri yang menyentuh kebajikan rakyat jelata.
Sehubungan itu, Nik Ahmad Kamal bersetuju dengan pandangan Ahli-ahli Dewan Diraja Selangor bahawa tiada ralat di sisi perlembagaan apabila Baginda menitahkan sesuatu perkara.
“Dari aspek undang-undang perlembagaan, titah Baginda yang di luar kuasa budi bicara mungkin tidak mengikat secara perundangan, namun ia harus dianggap sebagai pandangan dan nasihat yang amat berharga kepada pentadbiran negeri, khususnya kepada Menteri Besar dan EXCO.
“Pandangan tersebut datangnya daripada seorang pemerintah yang mempunyai pengalaman yang sangat luas dalam hal ehwal negeri Selangor,” jelas beliau ketika dihubungi The Merdeka Times hari ini.
Ahli-ahli Dewan Diraja Selangor dalam satu kenyataan semalam menegaskan bahawa Titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Persidangan Penggal Keempat Dewan negeri Selangor ke 15 baru-baru ini adalah selari dengan peranan seorang Raja di dalam pemerintahan Raja Berperlembagaan.
Kenyataan itu menegaskan, Titah Sultan Selangor tersebut adalah bagi memastikan segala tindakan kerajaan negeri bertepatan dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dengan mengambil kira kepentingan dan kesejahteraan rakyat dalam pemerintahannya.
Dalam satu kenyataan, ahli-ahli Dewan Diraja Selangor berkata, kenyataan tersebut dikeluarkan bagi menyangkal pandangan serong dan negatif daripada sebahagian pemimpin politik dan pihak-pihak tertentu yang menganggap Titah Sultan Selangor berkenaan telah mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri dan telah melanggar konsep Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara ini
Mengulas lanjut, Nik Ahmad Kamal mengingatkan bahawa salah satu fungsi penting kerajaan negeri adalah untuk merujuk setiap perkara yang berkaitan dengan negeri dan rakyat kepada Sultan bagi mendapatkan pandangan serta nasihat.
Beliau menambah, ia telah wujud sebagai amalan yang seakan-akan satu konvensyen perlembagaan yang tidak mengikat, tetapi telah diamalkan sekian lama.
“Sultan dan Raja adalah payung kepada rakyat sesebuah negeri dan peranan serta fungsi Baginda bukan sahaja bersifat ‘ceremonial’. Fungsi Sultan dan Raja dianggap amat penting untuk memastikan negeri sentiasa aman dan damai, serta membolehkan kerajaan berfungsi dengan baik.
Jelasnya, Sultan dan Raja juga berperanan sebagai semak dan imbang kepada kuasa politik dalam kerajaan dan sering kali bertindak sebagai timbang tara atau orang tengah untuk menyelesaikan krisis politik dalam kerajaan.
“Sebagai Ketua Agama Islam dalam negeri, Baginda menentukan hala tuju pentadbiran agama Islam serta isu-isu berkaitan dengan agama dan undang-undang Islam,” ujarnya. – The Merdeka Times