Terkini
Pencen ahli politik tidak adil, Reformasi perlu dilaksana – Pakar
- Penganalisis ekonomi antaranya membangkitkan persoalan mengenai kelayakan ahli politik menerima pencen sedangkan mereka berkhidmat untuk satu tempoh yang singkat.
- “Kenapa ahli-ahli dewan undangan negeri (DUN) dan Parlimen boleh menerima pencen penuh walaupun hanya berkhidmat selama satu penggal? Ini adalah tidak adil. Malah, sekiranya seorang wakil rakyat memegang pelbagai jawatan seperti Timbalan Menteri, Menteri, sehingga ke jawatan Perdana Menteri, jumlah pencen yang dikumpul adalah terlalu banyak,” – Profesor di Fakulti Ekonomi dan Muamalat USIM, Datuk Dr. Mohamed Mustafa Mohd Hanefah
- Ahli Parlimen Muar, YB Syed Saddiq bin Syed Abdul Rahman sebelum ini pernah melontarkan cadangan pemansuhan skim pencen untuk ahli politik di peringkat negeri dan Persekutuan demi memastikan keadilan terhadap penjawat awam di Malaysia.
KUALA LUMPUR – Sistem pemberian pencen kepada ahli politik di Malaysia disifatkan sebagai tidak adil dan memerlukan penelitian semula bagi memastikan kesamarataan dengan penjawat awam yang berkhidmat puluhan tahun untuk negara.
Penganalisis ekonomi antaranya membangkitkan persoalan mengenai kelayakan ahli politik menerima pencen sedangkan mereka berkhidmat untuk satu tempoh yang singkat.
Selain itu, terdapat juga penganalisis berpendapat, langkah reformasi pencen tersebut dapat dapat membawa penjimatan ke atas perbelanjaan tahunan Kerajaan Persekutuan.
Profesor di Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Datuk Dr. Mohamed Mustafa Mohd Hanefah berkata, penjawat awam lazimnya perlu berkhidmat selama 30 tahun untuk melayakkan mereka menerima pencen penuh.
“Kenapa ahli-ahli dewan undangan negeri (DUN) dan Parlimen boleh menerima pencen penuh walaupun hanya berkhidmat selama satu penggal?
“Ini adalah tidak adil. Malah, sekiranya seorang wakil rakyat memegang pelbagai jawatan seperti Timbalan Menteri, Menteri, sehingga ke jawatan Perdana Menteri, jumlah pencen yang dikumpul adalah terlalu banyak,” katanya kepada The Merdeka Times.
Ahli Parlimen Muar, YB Syed Saddiq bin Syed Abdul Rahman sebelum ini pernah melontarkan cadangan pemansuhan skim pencen untuk ahli politik di peringkat negeri dan Persekutuan demi memastikan keadilan terhadap penjawat awam di Malaysia.
Dalam satu klip video yang tular, beliau menyifatkan sistem sedia ada sebagai ‘tidak masuk akal’ kerana membolehkan seorang ahli politik mengumpul pelbagai jenis pencen dalam tempoh perkhidmatan yang singkat, berbanding penjawat awam yang perlu berkhidmat puluhan tahun.
Mengulas lanjut, Mohamed Mustafa berpandangan situasi berkenaan berlaku kerana kuasa menggubal undang-undang berada di tangan ahli parlimen sendiri, yang membolehkan peraturan yang menguntungkan mereka diluluskan.
Dalam pada itu, Pakar Ekonomi Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff menyatakan persetujuan beliau terhadap cadangan reformasi skim pencen ahli politik, khususnya melibatkan konsolidasi kesemua pencen kepada satu peruntukan sahaja serta penetapan had minimum tempoh perkhidmatan.
“Sekiranya inisiatif ini direalisasikan, kerajaan bakal memperoleh penjimatan signifikan terhadap perbelanjaan tahunan Kerajaan Persekutuan,” ujarnya. – The Merdeka Times