Connect with us

Politik

Lim Guan Eng ‘hentam’ BN, UMNO, PN, PAS, Dakwa Rave jana RM200 juta

Published

on

foto: Penasihat DAP, Lim Guan Eng
  •  “Adakah BN, UMNO, PN dan PAS buta terhadap kejayaan seperti ini yang memberi manfaat kepada negara dan rakyat? Walaupun tindakan melampau oleh parti pembangkang boleh dijangka, amat mengecewakan apabila UMNO dan BN, meskipun berada dalam kerajaan perpaduan, mengambil pendirian keras yang sama bersama PN dan PAS,” soal Lim.
  • Lim mendakwa festival berkenaan berjaya menarik kira-kira 180,000 pengunjung dan menjana sehingga RM200 juta dalam hasil keseluruhan pelancongan, berdasarkan anggaran oleh Persatuan Pelancongan Inbound Malaysia.

KUALA LUMPUR — Penasihat DAP, Lim Guan Eng menyifatkan parti-parti seperti Barisan Nasional (BN), UMNO, Perikatan Nasional (PN) dan PAS sebagai wajar berasa malu kerana membantah penganjuran Rain Rave Water Festival 2026 yang disifatkannya sebagai satu kejayaan besar dalam sektor pelancongan negara.

Menurut beliau, usaha membantah festival tersebut dilihat sebagai cubaan melaga-lagakan masyarakat serta mencetuskan perpecahan, walhal acara selama tiga hari itu berlangsung tanpa sebarang insiden tidak diingini dan berjalan dalam suasana selamat serta terkawal.

Lim mendakwa festival berkenaan berjaya menarik kira-kira 180,000 pengunjung dan menjana sehingga RM200 juta dalam hasil keseluruhan pelancongan, berdasarkan anggaran oleh Persatuan Pelancongan Inbound Malaysia. Katanya, jumlah tersebut bukan sahaja memberi limpahan ekonomi kepada peniaga kecil, malah meningkatkan imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang selamat dan menawarkan hiburan yang sihat.

Beliau turut menyifatkan kejayaan penganjuran festival itu sebagai bukti ketegasan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing yang tidak tunduk kepada tekanan pihak tertentu dalam melaksanakan program Tahun Melawat Malaysia 2026.

Dalam masa sama, Lim mendakwa Tiong wajar diberi kredit atas pencapaian sektor pelancongan negara yang menurutnya berkembang kepada nilai RM332 bilion dengan kehadiran 42 juta pelancong pada tahun 2025.

Mengulas lanjut, beliau mempersoalkan sama ada parti-parti seperti BN, UMNO, PN dan PAS “buta” terhadap kejayaan yang didakwanya memberi manfaat kepada negara dan rakyat, sambil menyifatkan tindakan pembangkang sebagai sesuatu yang dijangka.

“Adakah BN, UMNO, PN dan PAS buta terhadap kejayaan seperti ini yang memberi manfaat kepada negara dan rakyat? Walaupun tindakan melampau oleh parti pembangkang boleh dijangka, amat mengecewakan apabila UMNO dan BN, meskipun berada dalam kerajaan perpaduan, mengambil pendirian keras yang sama bersama PN dan PAS,” tulis Lim dalam hantaran Facebooknya.

Beliau juga mendakwa BN dan UMNO sebagai rakan yang tidak boleh dipercayai dalam kerajaan perpaduan, dengan merujuk kepada insiden yang didakwanya sebagai cubaan menggugat kestabilan kerajaan negeri Negeri Sembilan melalui penarikan sokongan terhadap Menteri Besar.

Selain itu, beliau turut membangkitkan kenyataan berulang pemimpin BN dan UMNO mengenai hasrat untuk bergerak secara solo dalam pilihan raya umum akan datang, walaupun kini bekerjasama dengan Pakatan Harapan dalam kerajaan.

Menurut Lim, tindakan tersebut mencerminkan kepentingan politik sempit yang mengatasi kepentingan nasional, dan menegaskan bahawa parti-parti berkenaan wajar terus ditolak oleh rakyat.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author