Connect with us

Terkini

KL hab hiburan: Utamakan hiburan terkawal, berbudaya, bukan liberalisasi tanpa batas – Penganalisis

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Pensyarah Pelancongan UiTM, Mohd Adib Izzat Mohd Nor berkata, pelbagai acara boleh dianjurkan di ibu negara bagi menarik pelancong global tanpa mengorbankan identiti negara.
  • Beliau juga menarik perhatian kepada potensi sektor pelancongan Muslim di negara ini yang disifatkannya sebagai kekuatan Malaysia, bukannya kelemahan.
  • “Ramai pelancong Muslim memilih Malaysia kerana apa? Makanan halal mudah diperoleh, pergi mana-mana sahaja terpapar makanan halal di sekitar kita. Suasana lebih selamat untuk keluarga, di mana kalau kita boleh tengok ranking Malaysia kita dari sudut fraud, anti-theft, negara kita,” katanya.

KUALA LUMPUR: Malaysia sememangnya memerlukan penganjuran acara antarabangsa, namun pendekatan hiburan yang terkawal dan berbudaya harus dipilih berbanding liberalisasi tanpa batas, tegas Pensyarah Pengurusan Pelancongan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka, Mohd Adib Izzat bin Mohd Nor.

Beliau berkata, pelbagai acara boleh dianjurkan di ibu negara bagi menarik pelancong global tanpa mengorbankan identiti negara merangkumi penganjuran acara seperti festival seni dan budaya, konsert yang mematuhi garis panduan tempatan serta acara sukan antarabangsa yang kini kian giat dijalankan.

Selain itu, beliau menambah bahawa pendekatan tersebut turut merangkumi penganjuran ekspo kreatif, festival makanan halal, acara berbentuk kekeluargaan, serta pemerkasaan sektor pelancongan budaya. 

Bercakap kepada The Merdeka Times, beliau juga menarik perhatian kepada potensi sektor pelancongan Muslim di negara ini yang disifatkannya sebagai kekuatan Malaysia, bukannya kelemahan.

“Ramai pelancong Muslim memilih Malaysia kerana apa? Makanan halal mudah diperoleh, pergi mana-mana sahaja terpapar makanan halal di sekitar kita. Suasana lebih selamat untuk keluarga, di mana kalau kita boleh tengok ranking Malaysia kita dari sudut fraud, anti-theft, negara kita. 

“Kemudian, kemudahan ibadah tersedia, pergi mana-mana terutama pusat beli-belah, mana-mana tempatlah, disediakan dengan surau awam. Budaya tempatan masih menjaga adat ketimuran. Kalau kita terlalu mengejar hiburan global tanpa kawalan, kita mungkin merosakkan ‘competitive advantage’ yang menjadi Malaysia berbeza daripada Bangkok, Las Vegas atau negara hiburan lain.

“Jadi, persoalan sebenar bukan perlukah acara antarabangsa, jawapannya ya, kita perlu. Tetapi soalan yang lebih penting ialah apakah jenis acara yang sesuai dengan identiti Malaysia? Pada pandangan saya, Malaysia perlu memilih pendekatan hiburan terkawal dan berbudaya, bukan liberalisasi tanpa batas,” katanya ketika dihubungi.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh semalam bahawa Kuala Lumpur bersedia untuk menjadi pemain utama dalam industri hiburan serantau, dengan kerajaan komited untuk mengurangkan kerenah birokrasi serta mempercepat proses kelulusan bagi acara antarabangsa. 

Mengulas lanjut, Mohd Adib Izzat mengakui bahawa penganjuran acara antarabangsa sememangnya memberi impak ekonomi yang besar kepada negara melalui konsep ekonomi pelancongan berasaskan acara (event-driven tourism economy). 

Beliau menambah, festival berskala besar seperti festival air dilaporkan mampu menjana RM320 juta dalam tempoh seminggu, sekali gus memberi limpahan ekonomi yang luas kepada sektor perhotelan, restoran, syarikat pengangkutan awam, serta mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan sementara di ibu negara.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa isu berkenaan perlu dinilai secara seimbang serta objektif tanpa mengenepikan sensitiviti masyarakat setempat dan identiti unik Malaysia sebagai negara majoriti Muslim. 

Jelasnya, industri hiburan kini sebahagian daripada penggerak ekonomi bandar moden yang mampu melonjakkan imej Kuala Lumpur ke peringkat global, namun tidak semua bentuk hiburan global sesuai dibawa masuk secara mutlak tanpa sebarang proses tapisan serta kawalan.

Sebagai pensyarah pelancongan, beliau berpendapat, konsep pelancongan Muslim bukanlah bermaksud menolak sektor hiburan secara total memandangkan kaedah Islam sendiri membenarkan hiburan selagi mana ia tidak melampaui batas syariat serta tidak mendatangkan kerosakan sosial. 

Sehubungan itu, tambah beliau, potensi perkara negatif seperti budaya melampau, pesta liar, lambakan alkohol, unsur lucah dalam hiburan, penyalahgunaan dadah serta kandungan yang menghina agama dan budaya tempatan mestilah dielakkan sepenuhnya.

“Kalau kerajaan hanya fokus kepada keuntungan ekonomi jangka pendek tetapi mengabaikan kesan sosial jangka panjang, akhirnya negara akan berdepan dengan konflik nilai dalam masyarakat,” katanya lagi. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author