Connect with us

Terkini

Di sebalik ‘kejayaan’ Rain Rave, Vendor makanan dakwa tanggung rugi

Published

on

Foto: Gambar Sekadar Hiasan.
  • Seorang vendor yang enggan dikenali mendedahkan bahawa penyertaannya dalam festival muzik tersebut gagal mencapai sasaran jualan meskipun acara berlangsung di kawasan tumpuan pelancong di tengah ibu negara.
  • “Kebanyakan pengunjung hanya mahu menikmati muzik dan lebih gemar mendapatkan air tajaan percuma yang disediakan, menyebabkan jualan produk vendor menjadi tidak memberangsangkan dan merugikan,” katanya kepada The Merdeka Times.
  • Beliau berkata, kos operasi yang tinggi turut memburukkan keadaan apabila kadar sewa reruai sahaja mencecah kira-kira RM3,000 bagi tempoh tiga hari festival berlangsung.
  • Tambahnya, untuk mencapai jualan kasar RM1,000 sehari juga amat sukar, sekaligus gagal menampung kos asas operasi perniagaan sepanjang acara tersebut.

KUALA LUMPUR — Di sebalik dakwaan kejayaan Rain Rave Festival 2026 yang dikatakan menarik ratusan ribu pengunjung serta menjana impak ekonomi besar kepada sektor pelancongan, sebahagian peniaga makanan dan minuman (F&B) mendakwa mereka sebenarnya berdepan kerugian sepanjang penganjuran acara itu di Bukit Bintang baru-baru ini.

Seorang vendor yang enggan dikenali mendedahkan bahawa penyertaannya dalam festival muzik tersebut gagal mencapai sasaran jualan meskipun acara berlangsung di kawasan tumpuan pelancong di tengah ibu negara.

Menurut beliau, pengalaman menyertai festival itu buat kali kedua menjadi satu pengajaran pahit buat peniaga kecil yang berharap acara berskala besar mampu meningkatkan pendapatan mereka.

“Kebanyakan pengunjung hanya mahu menikmati muzik dan lebih gemar mendapatkan air tajaan percuma yang disediakan, menyebabkan jualan produk vendor menjadi tidak memberangsangkan dan merugikan,” katanya kepada The Merdeka Times.

Beliau berkata, kos operasi yang tinggi turut memburukkan keadaan apabila kadar sewa reruai sahaja mencecah kira-kira RM3,000 bagi tempoh tiga hari festival berlangsung.

Tambahnya, untuk mencapai jualan kasar RM1,000 sehari juga amat sukar, sekali gus gagal menampung kos asas operasi perniagaan sepanjang acara tersebut.

“Bila dicampur sewa tapak, bahan mentah, gaji pekerja dan logistik, jumlah modal yang kami keluarkan sekitar RM7,000.

“Jadi apabila jualan tidak mencapai sasaran, memang vendor terpaksa tanggung kerugian,” ujarnya.

Menurut beliau, faktor lokasi festival di kawasan pusat bandar turut menjadi antara punca utama jualan vendor tidak memberangsangkan.

Katanya, pengunjung lebih cenderung membeli makanan dan minuman di kedai serbaneka serta premis sedia ada di sekitar Bukit Bintang yang menawarkan pilihan hampir sama pada harga lebih murah dan mudah diakses.

“Pengunjung boleh keluar sekejap sahaja untuk beli di kedai serbaneka berhampiran. Sebab itu ramai tidak membeli di reruai festival,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Rain Rave Festival 2026 dianggarkan menarik kira-kira 180,000 pengunjung dan menjana sehingga RM200 juta hasil keseluruhan pelancongan, menurut Persatuan Pelancongan Dalam Negeri Malaysia (MITA).

Presidennya, Mint Leong berkata, festival yang berlangsung dari 30 April hingga 2 Mei lalu itu turut mencatat kira-kira 1.4 bilion klik di platform media sosial global.

Beliau turut mendakwa angka unjuran persatuan itu melepasi sasaran awal industri yang menganggarkan kehadiran sekitar 80,000 pengunjung dengan perbelanjaan antara RM55 juta hingga RM70 juta. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author