Terkini
Bukit Bintang jadi lokasi program Quranic Madani Night Reset Jumaat ini
- Program itu dijadualkan berlangsung dari pukul 8 malam hingga 11 malam di Jalan Bukit Bintang, bersebelahan gedung Fahrenheit.
- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan dijangka hadir memeriahkan acara tersebut.
KUALA LUMPUR – Kawasan Bukit Bintang bakal menjadi lokasi penganjuran program kerohanian “Quranic Madani Night Reset: Bersatu Dalam Saf” yang akan berlangsung pada Jumaat ini.
Program itu dijadualkan berlangsung dari pukul 8 malam hingga 11 malam di Jalan Bukit Bintang, bersebelahan gedung Fahrenheit.
Antara pengisian program termasuk solat Isyak dan solat hajat berjemaah, bacaan Surah Al-Mulk serta tazkirah ringkas oleh beberapa pendakwah jemputan.
Berdasarkan poster program, tazkirah akan disampaikan oleh Ustaz Farkhan Da’ie, Maulana Khairi dan Ustaz Haris Ismail.
Program tersebut turut dijangka dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan.
Mereka juga dijadualkan menyampaikan ucapan kepada para hadirin.
“Semua muslimin dan muslimat dijemput hadir. Sila bawa sejadah dan hati yang tenang,” menurut poster program tersebut. – The Merdeka Times