Terkini
(VIDEO) Jangan terlalu taksub pertahan bahasa – Perdana Menteri
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa rakyat Malaysia untuk tidak terlalu taksub mempertahankan bahasa sehingga menafikan Bahasa kaum lain.
Menurut beliau, terdapat negara yang hancur kerana kepimpinan yang terlalu taksub dengan masalah bahasanya sehingga mengenepikan bahasa yang lain.
“Kita tengok sejarah, selaku Perdana Menteri sukar untuk saya sebut nama-nama negara kerana sensitif tetapi harus faham ada negara-negara kerana ketaksuban untuk mempertahankan bahasa sehingga menafikan bahasa kaum lain.
“Malah ada juga negara berpecah kerana permasalahan sentimen kaum satu sama lain, ada juga fahaman agama yang melampau bukan sahaja di kalangan penganut agama Islam tetapi juga Kristian serta Hindu.
“Sebagai seorang Islam, kita perlu menghayatinya tetapi penghayatan Islam itu tidak pernah harus selari dengan penghinaan kepada agama-agama lain,” katanya.
Perdana Menteri turut menekankan, ketakwaan kepada agama serta menghormati kepada agama lain mampu untuk mengekalkan keharmnonian masyarakat negara yang berbilang kaum.
“Saya tekankan, kita kata ‘Malaysia Madani, Rakyat Disantuni’, ia hanya mampu memberi makna dengan kefahaman, komitmen serta iltizam yang jelas demi mempertahankan kesatuan bangsa berbilang negara kita.
“Kesatuan kita ini juga bermakna menghormati kepada kaum-kaum yang lain dan yakin bahawa manusia ini akan diangkat martabatnya yang paling mulia ialah ketakwaannya bukan bahasa, budaya atau kaumnya tetapi takwa kepada Tuhan. Itu janji-Nya,” ujarnya. – The Merdeka Times