Connect with us

Agama

Tiada keperluan wujud menteri khusus masyarakat bukan Islam – UMNO

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto : Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail
  • Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata kenyataan dibuat Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui di Dewan Rakyat berkaitan isu itu seharusnya ditolak sepenuhnya kerana boleh mencetuskan polemik dan mendatangkan kemarahan masyarakat Melayu Islam terhadap kerajaan.
  • Setiap kenyataan dan pandangan melibatkan perubahan kepada dasar dan polisi sedia ada perlu mengambil kira peruntukan dalam perlembagaan dan berupaya menjamin kestabilan dan keharmonian yang telah dipupuk pengasas negara ini sejak sekian lama.
  • Turut membantah cadangan Yu Hui itu adalah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Wira Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
  • Asyraf Wajdi dalam hantaran di Facebook turut menegaskan bahawa tiada keperluan untuk kerajaan mewujudkan portfolio menteri khusus untuk mentadbir hal ehwal agama bukan Islam, sebaliknya Menteri Perpaduan yang patut menjalankan peranannya dalam hal itu.

KUALA LUMPUR — UMNO menegaskan bahawa tiada keperluan bagi kerajaan untuk mewujudkan jawatan menteri atau kementerian khusus berkaitan masyarakat bukan Islam.

Naib Presidennya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata kenyataan dibuat Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui di Dewan Rakyat berkaitan isu itu seharusnya ditolak sepenuhnya kerana boleh mencetuskan polemik dan mendatangkan kemarahan masyarakat Melayu Islam terhadap kerajaan.

Tegasnya lagi, setiap kenyataan dan pandangan melibatkan perubahan kepada dasar dan polisi sedia ada perlu mengambil kira peruntukan dalam Perlembagaan dan berupaya menjamin kestabilan dan keharmonian yang telah dipupuk pengasas negara ini sejak sekian lama.

“UMNO menghormati prinsip Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak dan kebajikan semua rakyat Malaysia, termasuk masyarakat bukan Islam, dalam mengamalkan agama dan budaya mereka tanpa halangan.

“Prinsip ini telah lama menjadi asas keharmonian dan kesejahteraan negara.

“Selain itu, tradisi kabinet Malaysia yang dianggotai oleh ahli daripada pelbagai kaum sudah menjamin segala masalah rakyat disuarakan oleh wakil masing masing,” kata Wan Rosdy dalam kenyataan media di sini hari ini.

Turut membantah cadangan Yu Hui itu adalah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Wira Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat semalam, Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu dilaporkan berkata setiap cadangan dan perbahasan di Dewan Rakyat perlu berpandukan Perlembagaan Persekutuan agar tidak mendatangkan sebarang polemik.

Katanya juga, beliau tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana negara ini sudah mempunyai Menteri Perpaduan yang menjaga semua hal berkaitan kepentingan masyarakat bukan Islam dan Muslim yang sekali gus menyaksikan perpaduan dalam negara bertahan sehingga hari ini.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Berpandangan sama, Asyraf Wajdi dalam hantaran di Facebook turut menegaskan bahawa tiada keperluan untuk kerajaan mewujudkan portfolio menteri khusus untuk mentadbir hal ehwal agama bukan Islam, sebaliknya Menteri Perpaduan yang patut menjalankan peranannya dalam hal itu.

Sebelum ini, Yu Hui dilaporkan mencadangkan agar portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua iaitu khusus untuk Islam dan bukan Islam.

Beliau berkata beberapa kerajaan negeri seperti Pulau Pinang, Perak dan Negeri Sembilan sudah lama mempunyai exco hal ehwal bukan Islam, maka peringkat Persekutuan juga boleh mencontohi langkah itu untuk menjamin hak semua rakyat. — The Merdeka Times

Author