Terkini
Akses video ulasan ‘eye dotting’ oleh PMX dihadkan, Firdaus Wong tuntut penjelasan SKMM

- Pendakwah, Firdaus Wong Wai Hung tuntut penjelasan SKMM berhubung video ulasan beliau tentang ‘eye dotting’ tarian singa oleh PMX yang dimuat naik di Facebook pada Januari lalu, kini ‘UNAVAILABLE IN MALAYSIA’ atau tidak boleh ditonton dalam negara ini.
- Firdaus Wong mendakwa perkara itu berlaku atas permintaan SKMM kepada Meta, justeru beliau meminta penjelasan di atas tindakan tersebut.
- “Saya faham andai ulasan atau video itu adalah fitnah maka permohonan dibuat oleh SKMM adalah adil tetapi video itu benar dan tulisan saya adalah fakta. Tiada pun saya mengutuk PMX malahan saya bersangka baik barangkali info yang tepat tentang ‘eye dotting’ tidak sampai kepada beliau!” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
KUALA LUMPUR — Pendakwah dan pempengaruh, Firdaus Wong Wai Hung menuntut penjelasan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung video ulasan beliau tentang ‘eye dotting’ tarian singa oleh PMX yang dimuat naik di Facebook pada Januari lalu, kini ‘UNAVAILABLE IN MALAYSIA’ atau tidak boleh ditonton dalam negara ini.
Firdaus Wong mendakwa perkara itu berlaku atas permintaan SKMM kepada Meta, justeru beliau meminta penjelasan di atas tindakan tersebut.
Ini kerana menurut beliau apa yang ada dalam video berkenaan ‘eye dotting’ itu adalah benar dan tulisan beliau berkenaannya juga fakta, bukannya bersifat fitnah yang mungkin mewajarkan tindakan diambil ke atas kandungan terbabit.
Selain itu, katanya kandungan video atau tulisan beliau juga langsung tiada unsur mengutuk PMX malah beliau bersangka baik beranggapan barangkali info yang tepat tentang ‘eye dotting’ tidak sampai kepada Perdana Menteri.
“Adakah video ulasan saya itu fitnah sehingga perlu menggunakan agensi kerajaan untuk membuat permintaan pada Meta untuk mengehadkan video saya?
“Saya tiada sebarang kepentingan politik malahan ulasan saya done in good faith!
“Saya memberikan rujukan & data dengan perkataan yang baik tiada caci maki dalam penulisan saya tetapi agensi kerajaan disalahgunakan untuk mengehadkan video itu?
“Saya faham andai ulasan atau video itu adalah fitnah maka permohonan dibuat oleh SKMM adalah adil tetapi video itu benar dan tulisan saya adalah fakta. Tiada pun saya mengutuk PMX malahan saya bersangka baik barangkali info yang tepat tentang ‘eye dotting’ tidak sampai kepada beliau!” kata Firdaus Wong menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Firdaus Wong Wai Hung
Dalam masa sama, beliau turut menyertakan beberapa tangkap layar pemberitahuan dari Meta bahawa kandungan video bertajuk, “PMX lakukan upacara “titik mata” tarian singa?” kini tidak boleh ditonton di Malaysia.
Alasan dinyatakan dalam pemberitahuan itu adalah pihak Meta terpaksa mengehadkan akses video berkenaan atas permintaan undang-undang dari
MCMC (Malaysia).
Difahamkan, antara kandungan video itu adalah Firdaus Wong memaklumkan ada individu berkongsikan satu klip video menunjukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir ke Majlis Sambutan Tahun Baru Cina 2025 di mana diakhir program, Anwar bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijemput menyempurnakan upacara “eye-dotting” kepada dua kostum tarian singa.
Menjelaskan upacara “eye-dotting” atau “titik mata”, Firdaus Wong berkata ia merupakan satu proses memasukkan roh ke dalam kostum singa itu sebelum singa terbabit membuat persembahan.
Beliau berkata menurut Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKNN), tujuan titik mata singa adalah untuk membawa tuah dan mengelakkan bala menimpa persembahan tarian singa yang diadakan sempena acara perasmian, perayaan dan sebagainya. — The Merdeka Times
