Politik
Peguam dedah surat Istana Pahang sahkan Titah Adendum wujud, sahih
- Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata surat bertarikh 4 Januari lalu itu, dihantar kepada anak sulung Najib, Datuk Mohamad Nizar oleh Pengelola Bijaya Diraja Ke-Bawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman, lapor Berita Harian hari ini.
- Berdasarkan kandungan surat itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah selaku Yang di-Pertuan Agong ke-16 telah menitahkan Najib menjalani baki hukuman pemenjaraan menerusi penahanan dalam rumah (house arrest) melalui Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024.
- Surat itu selanjutnya menyatakan, sehubungan itu, Pengelola Bijaya bagi pihak Sultan Pahang memperakukan bahawa Titah Addendum adalah wujud dan sahih.
- BERNAMA melaporkan bahawa Mahkamah Rayuan hari ini memulakan prosiding mendengar rayuan Najib berhubung dakwaannya mengenai kewujudan Titah Adendum, dengan pendengaran permohonan pihak pembelaan mengemukakan bukti tambahan.
KUALA LUMPUR — Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hari ini mendedahkan surat Majlis Kesultanan Pahang yang mengesahkan wujudnya Titah Adendum yang membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Muhammad Shafee berkata surat bertarikh 4 Januari lalu itu, dihantar kepada anak sulung Najib, Datuk Mohamad Nizar oleh Pengelola Bijaya Diraja Ke-Bawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman, lapor Berita Harian hari ini.
Muhammad Shafee mengemukakan dokumen itu ketika mengemukakan permohonan Najib untuk memasukkan bukti tambahan dalam rayuannya bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman berhubung Titah Adendum berkenaan.
Berdasarkan kandungan surat itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah selaku Yang di-Pertuan Agong ke-16 telah menitahkan Najib menjalani baki hukuman pemenjaraan menerusi penahanan dalam rumah (house arrest) melalui Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024.
Surat itu selanjutnya menyatakan, sehubungan itu, Pengelola Bijaya bagi pihak Sultan Pahang memperakukan bahawa Titah Addendum adalah wujud dan sahih.
BERNAMA melaporkan bahawa Mahkamah Rayuan hari ini memulakan prosiding mendengar rayuan Najib berhubung dakwaannya mengenai kewujudan Titah Adendum, dengan pendengaran permohonan pihak pembelaan mengemukakan bukti tambahan.
Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Azizah Nawawi, Datuk Azhahari Kamal Ramli, dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril mendengar hujahan Muhammad Shafee yang mewakili Najib.
Bekas perdana menteri itu memohon untuk mengemukakan bukti tambahan bagi menyokong dakwaannya tentang kewujudan dokumen tersebut, yang didakwa akan membolehkannya menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah. — The Merdeka Times