Terkini
Vivy, suami didakwa pecah amanah dana pelaburan PNB, Khazanah RM8 juta
![](https://cdn.themerdekatimes.com/wp-content/uploads/2024/12/Vivy-suami-didakwa-pecah-amanah-dana-pelaburan-PNB-Khazanah-RM8-juta-01.jpg)
- Pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) bernilai RM8 juta, enam tahun lalu.
- Vivy atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof, 37, dan Fadzarudin, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Rosli Ahmad, lapor media tempatan.
- Pasangan itu dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun serta dengan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
KUALA LUMPUR — Pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) bernilai RM8 juta, enam tahun lalu.
Vivy atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof, 37, dan Fadzarudin, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Rosli Ahmad, lapor media tempatan.
“Faham, mengaku tidak bersalah,” kata Vivy yang hadir ke mahkamah dengan memakai baju serba putih bersama Fadzarudin, yang mengenakan kot berwarna hitam.
Mengikut pertuduhan, pasangan itu didakwa dengan niat bersama sebagai ejen iaitu Pengarah FashionValet Sdn Bhd yang diamanahkan dana pelaburan Khazanah dan PNB, telah melakukan pecah amanah dengan membuat pembayaran RM8 juta daripada akaun bank milik syarikat Fashion Valet Sdn Bhd kepada syarikat 30 Maple Sdn Bhd tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarahnya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Bukit Damansara, 36-40 Medan Setia 2, Plaza Damansara Bukit Damansara di sini pada 21 Ogos 2018.
Pasangan itu dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun serta dengan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Menurut BERNAMA, pada 28 Nov lalu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melengkapkan siasatan berhubung pelaburan beberapa entiti kerajaan dalam syarikat pengendali platform e-dagang itu.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Khazanah untuk melakukan audit dalaman bagi menyiasat kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta dalam FashionValet.
Anwar yang juga Pengerusi Khazanah berkata arahan tegas itu sebagai memaknai pengumuman beliau sebelum ini yang mengarahkan Jabatan Audit Negara melakukan pengauditan terhadap 2,000 syarikat berkaitan kerajaan.
Pada 2018, Khazanah dan PNB telah melabur masing-masing RM27 juta dan RM20 juta untuk pegangan minoriti masing-masing dalam FashionValet. — The Merdeka Times
![](https://cdn.themerdekatimes.com/wp-content/uploads/2022/10/tmt-new-logo-black.png)