Terkini
Syerleena jangan halang suara rakyat desak King Sing letak jawatan
- Gerakan Pengundi Sedar (GPS) meluahkan rasa kesal dengan kenyataan Ahli Parlimen Bukit Bendera dari DAP, Syerleena Abdul Rashid yang dilihat seolah-olah menghalang rakyat daripada bersuara dalam mendesak Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing meletak jawatan susulan kontroversi isu papan tanda, baru-baru ini.
- Pengerusi GPS, Hazry S berkata itu adalah suara dan desakan pihaknya serta rakyat Malaysia, justeru beliau memohon supaya Syerleena tidak menghalang suara rakyat yang cintakan tanah air, bangsa dan agama daripada bersuara.
- Pihaknya juga menegaskan sekali lagi bahawa pelancaran petisyen Sejuta Rakyat Malaysia Desak Tiong King Sing Letak Jawatan adalah desakan yang mempunyai pelbagai sebab kukuh.
- “Kegagalan demi kegagalan Tiong King Sing menunjukkan prestasinya sangat buruk dan semakin merosot, justeru beliau tidak harus diberikan masa yang lebih lama lagi kerana ia bakal mengundang kerugian lebih besar,” kata Hazry menerusi kenyataan media pada Rabu.
KUALA LUMPUR — Gerakan Pengundi Sedar (GPS) meluahkan rasa kesal dengan kenyataan Ahli Parlimen Bukit Bendera dari DAP, Syerleena Abdul Rashid yang dilihat seolah-olah menghalang rakyat daripada bersuara dalam mendesak Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing meletak jawatan susulan kontroversi isu papan tanda, baru-baru ini.
Pengerusi GPS, Hazry S berkata itu adalah suara dan desakan pihaknya serta rakyat Malaysia, justeru beliau memohon supaya Syerleena tidak menghalang suara rakyat yang cintakan tanah air, bangsa dan agama daripada bersuara.
Beliau berkata pihaknya juga menegaskan sekali lagi bahawa pelancaran petisyen Sejuta Rakyat Malaysia Desak Tiong King Sing Letak Jawatan adalah desakan yang mempunyai pelbagai sebab kukuh.
GPS berharap desakan itu sampai kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar beliau dapat menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya membatalkan jawatan menteri disandang King Sing atau menasihatinya meletak jawatan menurut Perkara 43(5) Perlembagaan Persekutuan.
“Pihak GPS ingin menzahirkan kekesalan terhadap kenyataan Syerleena yang seolah-olah menghalang rakyat daripada bersuara. Menurut laporan portal TMT (The Merdeka Times), Syerleena berkata “daripada mengambil tindakan drastik adalah lebih bermanfaat sekiranya dialog konstruktif diwujudkan bagi menangani isu berbangkit dalam sektor pelancongan.”
“GPS serta ramai rakyat Malaysia sudah memberikan respons dan teguran terhadap kelemahan dan keculasan Tiong King Sing sejak beliau memegang portfolio Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.
“Kegagalan demi kegagalan Tiong King Sing menunjukkan prestasinya sangat buruk dan semakin merosot, justeru beliau tidak harus diberikan masa yang lebih lama lagi kerana ia bakal mengundang kerugian lebih besar.
“Kerugian di sini, ingin GPS tegaskan bahawa ia bukanlah diukur dari segi jumlah pelancong semata-mata tetapi apa nilai dan identiti Malaysia yang akan dipersembahkan kepada para pelancong. Adakah pelancong datang ke Malaysia tetapi mereka melihat China serta identiti dan budaya asing?,” kata Hazry menerusi kenyataan media di sini pada Rabu.
Kenyataan itu adalah sebagai maklum balas kepada laporan The Merdeka Times pada Selasa yang bertajuk, “Keterlaluan dan tidak produktif desak King Sing letak jawatan – Ahli Parlimen DAP”.
Artikel itu antara lain menyatakan Syerleena menyifatkan desakan supaya King Sing meletak jawatan dengan segera sebagai “keterlaluan dan tidak produktif”.
Ahli Parlimen Bukit Bendera itu berkata daripada mengambil tindakan drastik adalah lebih bermanfaat sekiranya dialog konstruktif diwujudkan untuk menangani isu berbangkit dalam sektor pelancongan.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang petisyen yang dilancarkan untuk mendesak King Sing meletak jawatan dengan segera susulan beliau didakwa gagal menjalankan tanggungjawab sebagai menteri. — The Merdeka Times