Terkini
KL paling ramai miskin tegar
- Kuala Lumpur memiliki bilangan Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar paling ramai iaitu 474 orang diikuti negeri Kedah yang mempunyai jumlah kedua tertinggi (341), Sabah (289) dan Johor (275), menurut sistem eKasih.
- Perlis, Melaka, Negeri Sembilan dan Putrajaya pula mencatatkan sifar miskin tegar setakat bulan lalu.
- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen semalam berkata, seramai 2,191 KIR di seluruh negara berada di bawah kategori miskin tegar setakat 30 November lalu, manakala 391,539 diklasifikasikan sebagai miskin.
KUALA LUMPUR — Kuala Lumpur memiliki bilangan Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar paling ramai iaitu 474 orang diikuti negeri Kedah yang mempunyai jumlah kedua tertinggi (341), Sabah (289) dan Johor (275), menurut sistem eKasih.
Perlis, Melaka, Negeri Sembilan dan Putrajaya pula mencatatkan sifar miskin tegar setakat bulan lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen semalam berkata, seramai 2,191 KIR di seluruh negara berada di bawah kategori miskin tegar setakat 30 November lalu, manakala 391,539 diklasifikasikan sebagai miskin.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Kesavan A/L Subramaniam (PH-Sungai Siput) yang meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah e-Kasih yang berdaftar mengikut pecahan negeri dan secara khususnya bagi Parlimen Sungai Siput sehingga 30 Oktober 2024.
Sistem eKasih ialah satu sistem pengkalan data keluarga miskin yang diwujudkan di peringkat nasional bagi membantu merancang, melaksana dan memantau program kemiskinan.
Ia merupakan Bank Data Kemiskinan Nasional yang mengandungi maklumat mengenai kemiskinan bermula dari profil individu, program/bantuan diterima KIR dan Ahli Isi Rumah (AIR) daripada agensi pemberi bantuan sehinggalah kepada permohonan bantuan dan pemantauan keberkesanan program/bantuan yang diterima.
Mengenai KIR di bawah kategori miskin, beliau berkata Sabah mempunyai jumlah tertinggi (71,900), diikuti Sarawak (58,877), dan Kelantan (58,684).
Manakala, Putrajaya mencatatkan bilangan KIR miskin terendah iaitu 38, diikuti Labuan (1,772), dan Kuala Lumpur (6,382).
“Bagi Parlimen Sungai Siput, terdapat sebanyak 870 KIR yang terdiri daripada 862 KIR Miskin dan 8 KIR Miskin Tegar,” kata Zaliha menjawab pertanyaan Kesavan. — The Merdeka Times