Agama
JAKIM pantau kandungan isu agama, tokoh agamawan di media sosial
- Langkah itu bagi memastikan penyebaran maklumat berkaitan agama adalah tepat dan tidak mengelirukan serta memecahbelahkan masyarakat.
- Menteri Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, dalam hal ini, JAKIM sentiasa bekerjasama dengan agensi agama negeri-negeri dan agensi persekutuan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menangani penyebaran kandungan tidak sesuai atau boleh mencetuskan kontroversi, terutama melibatkan tokoh agama.
- “Mengurus kontroversi melalui media, terutamanya yang melibatkan isu agama dan tokoh agama, memerlukan pendekatan bijaksana dan teliti untuk mengelakkan kekeliruan dan ketegangan dalam masyarakat.
- “JAKIM juga mengadakan pertemuan secara tertutup dengan tokoh-tokoh agama yang terlibat bagi memahami perspektif mereka dan mencari penyelesaian secara tuntas dan berhemah,” katanya menerusi jawapan bertulis di laman web Parlimen semalam.
KUALA LUMPUR — Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memantau kandungan berkaitan isu agama dan tokoh agamawan, khususnya di media sosial bagi memastikan penyebaran maklumat berkaitan agama adalah tepat dan tidak mengelirukan serta memecahbelahkan masyarakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, dalam hal ini, JAKIM sentiasa bekerjasama dengan agensi agama negeri-negeri dan agensi persekutuan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menangani penyebaran kandungan tidak sesuai atau boleh mencetuskan kontroversi, terutama melibatkan tokoh agama.
“Mengurus kontroversi melalui media, terutamanya yang melibatkan isu agama dan tokoh agama, memerlukan pendekatan bijaksana dan teliti untuk mengelakkan kekeliruan dan ketegangan dalam masyarakat.
“JAKIM juga mengadakan pertemuan secara tertutup dengan tokoh-tokoh agama yang terlibat bagi memahami perspektif mereka dan mencari penyelesaian secara tuntas dan berhemah,” katanya menerusi jawapan bertulis di laman web Parlimen di sini semalam.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Senator Datuk Seri Prof Emeritus Dr Awang Sariyan yang meminta Perdana Menteri menyatakan langkah-langkah untuk membendung kontroversi melalui media tentang hal-hal pokok berkaitan agama yang melibatkan sejumlah individu yang tergolong atau dianggap sebagai tokoh agama, bagi mengelakkan kekeliruan dalam masyarakat.
Mohd Na’im berkata JAKIM juga membangunkan Garis Panduan Kandungan Berunsur Islam Dalam Media Baharu dan Kod Etika Dakwah sebagai rujukan kepada pendakwah dan masyarakat dalam menyebarkan dakwah sama ada secara ceramah fizikal atau media sosial.
Selain itu, semua pendakwah atau penceramah perlu mendapatkan tauliah mengajar yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Negeri atau Jabatan Mufti Negeri-Negeri sebelum dibenarkan mengajar atau berceramah.
“Pihak berkuasa agama negeri-negeri juga boleh mengambil tindakan terhadap pendakwah tersebut sekiranya didapati menimbulkan kontroversi atau kekeliruan di dalam masyarakat dan tindakan undang-undang boleh dikenakan di bawah Akta/Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah.
“Semua pendakwah juga disaran berhikmah di dalam menyampaikan dakwah. Adab-adab di dalam meraikan perbezaan pendapat perlu diamalkan bagi mengelak sebarang perselisihan pendapat di kalangan pendakwah yang boleh membawa perpecahan ummat,” katanya. — The Merdeka Times