Kolumnis
Mengapa dunia masih takut iktiraf Palestin mangsa terorisme?
International Day of Remembrance and Tribute to The Victims of Terrorism, merupakan hari kebangsaan yang diwujudkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memperingati mangsa-mangsa insiden keganasan atau terorisme. Hari kebangsaan ini diperingati di seluruh dunia pada tanggal 21 Ogos setiap tahun.
International Day of Remembrance and Tribute to The Victims of Terrorism, merupakan hari kebangsaan yang diwujudkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memperingati mangsa-mangsa insiden keganasan atau terorisme. Hari kebangsaan ini diperingati di seluruh dunia pada tanggal 21 Ogos setiap tahun.
Antara insiden keganasan yang menjadi tumpuan pada hari kebangsaan ini ialah insiden 11 September 2001, iaitu serangan keganasan gerakan Al-Qaeda ke atas Washington, Amerika Syarikat (AS).
Namun, ada insiden keganasan yang lebih teruk dan masih berterusan hingga ke hari ini di mana ribuan warga Palestin menjadi mangsa keganasan Israel, namun tidak pula diberi perhatian pada hari kebangsaan ini. Mengapa?
Sebelum itu, perlu kita tahu terlebih dahulu apakah yang dimaksudkan dengan terorisme mengikut takrifan PBB? Benarkah wujudnya double standard?
Definisi Terorisme oleh PBB
Perkataan teror secara literal didefinisikan sebagai perasaan takut, cemas dan panik, manakala terorisme didefinisikan sebagai satu tindakan keganasan yang dilakukan bertujuan untuk mencetuskan ketakutan bagi mencapai matlamat politik, agama atau apa-apa bentuk ideologi.
Menurut PBB, terorisme didefinisikan sebagai satu tindakan jenayah yang menyebabkan kematian atau kecederaan badan yang serius kepada seseorang, atau kemusnahan teruk ke atas bangunan pemilikan awam atau personal, atau kemusnahan ke atas bangunan-bangunan fasiliti atau infrastruktur awam yang digunakan oleh sesebuah penduduk. Kemusnahan-kemusnahan yang akan membawa kepada kerugian besar terhadap ekonomi negara yang diserang.
Antara perbuatan yang boleh diklasifikasikan sebagai terorisme termasuk pengeboman, penahanan sebagai tebusan, serangan udara, penembakan, rampasan kapal udara, ugutan dan lain-lain.
Kebiasaannya perbuatan terorisme ini disasarkan ke arah non-combatant (bukan pejuang atau militan) atau orang awam.
Secara ringkas untuk mendefinisikan tindakan teror dengan lebih jelas, Majlis Keselamatan PBB memutuskan akta-akta berkaitan dengan terorisme. Antaranya:
- Konvensyen Antarabangsa Menentang Pengambilan Tebusan 1979
- Konvensyen Antarabangsa bagi Penindasan Pengeboman Pengganas 1997
- Konvensyen Antarabangsa bagi Penindasan Tindakan Keganasan Nuklear New York 2005
Bukan sahaja rejim Israel telah memenuhi definisi terorisme, malah mereka juga melanggar ketiga-tiga akta berkenaan.
Namun, dunia tetap tidak mengiktiraf Israel sebagai teroris atau pengganas sebenar. Jadi, satu persatu kekejaman tentera Israel dan tindakan teror mereka akan kita rungkaikan.
Serangan Teror Rejim Israel
Pertama, bagaimana Israel melakukan pembunuhan warga Palestin?
Sudah termaktub dalam Akta Internasional oleh PBB, bom nuklear adalah bom terlarang dan penggunaannya sebagai senjata serangan adalah satu tindakan teror. Namun, Israel tetap melanggar akta tersebut.
Human Rights Watch menyatakan Israel melepaskan fosforus putih di Gaza pada 10 & 11 Oktober 2023.
Penggunaan fosforus putih ini bertujuan untuk mencetuskan api kepada sesuatu objek atau manusia. Apabila fosforus ini terlepas ke udara, kebakaran sepanas 815 darjah celcius dapat dicetuskan.
Hanya dengan asap letupan itu sahaja, jika terkena pada kulit manusia boleh menyebabkan kelecuran, komplikasi pernafasan dan kerengsaan mata.
Fosforus putih ini juga boleh masuk ke dalam pembuluh darah sehingga menyebabkan kegagalan organ dalam badan manusia.
Lebih teruk lagi, mangsa bom fosforus putih boleh maut dengan hanya menghidu asap fosforus putih tersebut.
Selain daripada penggunaan fosforus putih, pada Mei lalu, rejim Israel juga melepaskan serangan udara yang dahsyat umpama ‘krematorium’. Mereka yang menyaksikan serangan itu mengatakan seolah-olah sedang melihat ‘a vision of hell’.
Seramai 45 rakyat Palestin mati terbakar dan bergelimpangan di atas jalan disebabkan serangan kejam itu.
“Saya melihat mayat di merata-rata. Kanak-kanak terbakar. Saya juga melihat badan tanpa kepala. Yang tercedera berlari-lari dalam penderitaan, yang hidup pula malah terperangkap dalam khemah yang sedang terbakar,’’ kata saksi kejadian.
Satu momen yang menyayat hati susulan serangan rejim Israel pada malam itu, tular video yang menyaksikan seorang lelaki memegang jasad seorang kanak-kanak yang rentung terbakar tanpa kepala.
Apakah dosa kanak-kanak tersebut sehingga menjadi korban kekejaman mereka?
Sejak Oktober lalu, rejim Israel telah menggugurkan lebih 25,000 tan bahan letupan ke atas bumi Palestin, melebihi kadar bom atom yang digugurkan oleh Amerika Syarikat ke atas Hiroshima dan Nagasaki pada Perang Dunia Kedua.
Kedua, bagaimana Israel licik menjalankan taktik teror mereka terhadap tahanan Palestin?
Rejim Israel menjadikan rakyat Palestin yang ditahan sebagai ‘perisai manusia’ atau ‘human shields’ untuk mengelakkan diri mereka daripada terkena perangkap atau bom tersembunyi.
Mereka memakaikan tahanan-tahanan Palestin dengan uniform tentera mereka dan membiarkan kelompok itu mengemudi rejim Israel di hadapan mereka sewaktu melalui terowong-terowong berbahaya.
Bukan itu sahaja, rejim Israel juga memperagakan tahanan-tahanan Palestin dalam keadaan yang tidak berpakaian dan separuh berpakaian serta kepala ditundukkan di sepanjang jalan. Lalu, imej mereka disebarkan dalam media sosial.
Apa alasan Israel apabila ramai yang mengecam tindakan mereka? Alasannya kerana mereka tidak mengikut arahan supaya berpindah.
Ketiga, kekejaman Israel tidak terhenti setakat itu sahaja. Mereka kononnya ingin menyediakan zon selamat kepada rakyat Palestin sebagai tempat perlindungan sementara, namun ‘kawasan selamat’ itu juga diserang.
Alasan sama diberikan kerana dipercayai ada tentera Hamas bersembunyi di sebalik kawasan-kawasan yang didiami rakyat Palestin. Semuanya helah dan penipuan demi penipuan.
Setelah utara Gaza, Gaza City, Deir Al-Balah dan Khan Younis diserang, rejim Israel sekali lagi mengarahkan rakyat Palestin untuk berpindah ke Rafah di selatan Mesir.
Rafah, yang hanya sebuah tanah kecil yang mampu memuatkan 275,000 penduduk, kini terpaksa dimuatkan lebih 1.5 juta rakyat Palestin.
Dalam kesempitan itu, penduduk Gaza diseksa dengan kelaparan, kesejukan dan ketakutan di tengah-tengah tanah Rafah yang hanya menunggu detik kem pelarian itu juga dibedil oleh rejim Israel.
Bukan itu sahaja, Israel juga menghalang bantuan-bantuan kemanusiaan daripada memasuki Gaza dengan menutup persimpangan Rafah dan Kerem Shalom.
Ini menyebabkan hampir 82,000 tan kargo, minyak dan bantuan lain terkandas di Mesir. Lebih teruk lagi, bantuan-bantuan seperti makanan dan ubatan yang sepatutnya diberikan kepada rakyat Palestin telah rosak.
Keempat, majoriti mangsa sasaran Israel adalah rakyat Palestin. Orang awam yang tiada senjata, malah tidak berkemampuan untuk mempertahankan diri seperti wanita, kanak-kanak dan warga emas turut menjadi mangsa.
Menurut Jerusalem Post, PBB menyatakan sebahagian besar kematian di Palestin adalah daripada kalangan wanita dan kanak-kanak.
Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (UNOCHA) dan Kementerian Kesihatan di Gaza melaporkan 11,000 daripada jumlah kematian adalah dalam kalangan wanita, manakala 13,913 mangsa yang maut adalah kanak-kanak.
Apa lagi yang membezakan mangsa September 11 dengan rakyat Palestin sehingga dunia masih tidak mengiktirafkan mereka juga sebagai mangsa terorisme?
Kelima, Israel memusnahkan fasiliti awam yang digunakan rakyat Palestin serta sumber-sumber untuk survival mereka.
Seperti memutuskan bekalan elektrik yang telah menyebabkan pesakit-pesakit kritikal dan bayi-bayi baru lahir yang memerlukan rawatan segera tidak dapat diselamatkan.
Dilaporkan terdapat dua bayi pramatang meninggal dunia di Hospital Al-Shifa sejurus bekalan elektrik yang terputus, manakala 37 bayi baru lahir sedang menghadapi risiko kematian.
Sehingga ke hari ini, sebanyak 24 hospital telah dihancurkan. Antaranya termasuk Hospital Al-Shifa yang merupakan hospital terbesar di Gaza, Hospital Pediatrik Al-Nassr, Hospital Algeria, Hospital Persahabatan Turki-Palestin, Hospital Dar Essalam, Hospital Qatari, Hospital Beit Hanoun dan Hospital Balsam.
Menurut UNOCHA, kini hanya enam hospital yang masih beroperasi bagi menampung jutaan rakyat Palestin.
Namun, keenam-enam hospital ini hampir lumpuh kemudahan dan bekalan perubatan.
Disebabkan kemusnahan besar ini, rakyat Palestin terpaksa bergantung kepada pusat-pusat perubatan sementara yang dibina hasil bantuan negara-negara asing, organisasi kemanusiaan dan NGO.
Tidak cukup dengan ribuan nyawa menjadi korban, rejim Israel turut melakukan tindakan ‘scholasticide’, iaitu memusnahkan institusi-institusi pendidikan.
Lebih 346 institusi pendidikan di Gaza telah dimusnahkan, termasuk Universiti Islam Gaza yang dibom pada Oktober lalu. Pada Januari pula, Universiti Al-Israa, Universiti Terbuka Al-Quds, Universiti Palestin dan Universiti Al-Azhar turut dimusnahkan.
Kesimpulan
Kekejaman demi kekejaman ini sepatutnya sudah cukup membuktikan Israel adalah teroris atau pengganas sebenar. Malah ia menepati setiap definisi terorisme yang ditetapkan PBB.
Tidak berlebihan sekiranya kita mengatakan bahawa apa dilakukan Israel kini adalah perbuatan genosid atau pembunuhan beramai-ramai untuk menghapuskan sesuatu etnik atau bangsa.
Ini merupakan bentuk terorisme yang lebih teruk dan dahsyat. Sudah lebih 300 hari penduduk Palestin terpaksa menelan dan menghadap segala perbuatan keganasan ‘teroris’ Israel.
Lucunya, dunia menyaksikan satu persatu kekejaman Israel. Namun, mengapa sehingga ke hari ini dunia masih takut untuk menggelar rejim Israel sebagai teroris? – The Merdeka Times
Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.