Terkini
Muhyiddin umum tidak pertahan jawatan Presiden Bersatu
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti yang dijangka berlangsung sebelum hujung 2024.
- Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil keputusan tidak mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti yang dijangka berlangsung sebelum hujung 2024.
- Bekas Perdana Menteri itu berkata, masanya telah tiba untuk beliau wariskan kepimpinan parti kepada pemimpin seterusnya demi terus angkat Bersatu sebagai parti pembela Melayu dan Bumiputera.
- Muhyiddin turut mencadangkan barisan kepimpinan kanan parti bermusyawarah dahulu untuk memastikan tokoh-tokoh parti mempunyai tempat dan peranan dalam barisan kepimpinan baharu nanti.
- “Ini adalah Perhimpunan Agung kali terakhir saya berdiri di pentas ini sebagai Presiden parti. Ini kerana pemilihan parti akan datang akan dibuat di peringkat bahagian terlebih dahulu sebelum perhimpunan agung diadakan.
- “Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf kepada semua barisan pimpinan dan ahli Bersatu sekiranya saya melakukan sebarang kesalahan atau kesilapan sepanjang saya memimpin parti. Pesan saya, jagalah parti ini baik-baik,” katanya sewaktu menyampaikan Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung Bersatu di Shah Alam, pada Jumaat.
SHAH ALAM: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti yang dijangka berlangsung sebelum hujung 2024.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, masanya telah tiba untuk beliau mewariskan kepimpinan parti kepada pemimpin seterusnya demi terus mengangkat Bersatu sebagai parti pembela Melayu dan Bumiputera.
Selain itu Muhyiddin turut mencadangkan barisan kepimpinan kanan parti bermusyawarah terlebih dahulu untuk memastikan tokoh-tokoh parti mempunyai tempat dan peranan dalam barisan kepimpinan yang baharu nanti.
“Ini adalah Perhimpunan Agung kali terakhir saya berdiri di pentas ini sebagai Presiden parti. Ini kerana pemilihan parti akan datang akan dibuat di peringkat bahagian terlebih dahulu sebelum perhimpunan agung diadakan.
“Justeru, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf kepada semua barisan pimpinan dan ahli Bersatu sekiranya saya melakukan sebarang kesalahan atau kesilapan sepanjang saya memimpin parti. Pesan saya, jagalah parti ini baik-baik,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung Bersatu di Shah Alam, pada Jumaat.
Dalam sidang media susulan, Muhyiddin berkata, beliau mengambil maklum tentang bantahan pimpinan kanan parti atas keputusan mengejutkan itu, tetapi katanya, parti tidak boleh terus bergantung kepada individu semata-mata.
“Ketika ini saya masih Presiden, tetapi saya memberi notis awal (untuk tidak bertanding). Saya berpandangan pimpinan kanan parti perlu duduk dan berbincang, supaya pemilihan parti kelak tidak akan menimbulkan perpecahan.
“Selagi saya masih seorang Presiden, saya masih mempunyai tanggungjawab dan saya akan melakukan perkara yang perlu kerana saya berada di dalam parti sejak penubuhannya.
“Mungkin dalam tempoh setahun ada pemimpin lain yang boleh menjalankan tugas saya, tetapi ketika ini saya masih di sini dan tidak akan berhenti sehingga tahun hadapan,” katanya lagi.
Terdahulu dalam ucapan dasarnya, Muhyiddin berkata, beliau percaya Bersatu mempunyai barisan kepimpinan pelapis yang amat berpengalaman dan hebat semuanya.
“Sebahagian besar ahli-ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti kita adalah bekas menteri termasuk dua menteri kanan, tiga bekas menteri besar dan ramai lagi bekas timbalan menteri yang mempunyai pengalaman luas dalam mengurus parti dan mentadbir kerajaan.
“Saya percaya apabila tiba masanya saya mengundurkan diri sebagai presiden parti, Bersatu akan dipimpin oleh sepasukan pemimpin yang hebat dan berpengalaman luas untuk memacu parti ke mercu yang lebih tinggi,” katanya lagi.
Sementara itu Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, keputusan yang diumumkan Muhyiddin itu sangat mengejutkan kerana beliau dan pimpinan kanan lain mendengarnya buat pertama kali.
“Kita akan berbincang dan akan mencari jalan yang terbaik kerana kami akan mendapatkan pandangan kelangsungan daripada perwakilan.
“Jadi, kepentingan ahli suara akar umbi akan dipertimbangkan. Rasa cinta ini akan beri pertimbangan tentunya terhadap ucapan beliau petang ini sehingga esok, dan suara akar umbi akan dibawa ke para jurucakap,” katanya lagi.
Ditanya sama ada beliau mempunyai hasrat untuk bertanding sebagai Presiden pada pemilihan seterusnya, Ahmad Faizal berkata beliau enggan memikirkan mengenai perkara tersebut ketika ini.
Sumber: Astro Awani