Connect with us

Terkini

Isu kaum, agama dijangka terus jadi modal kempen PRN

Semua pihak yang bakal bertanding pada enam pilihan raya negeri (PRN) tidak wajar lagi menjadikan isu kaum dan agama sebagai modal berkempen untuk meraih undi.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Isu kaum, agama dijangka terus jadi modal kempen PRN
Foto: Dr Mazlan Ali (kiri) dan Dr Azmi Hassan (kanan).
  • Semua pihak yang bakal bertanding pada enam pilihan raya negeri (PRN) tidak wajar lagi menjadikan isu kaum dan agama sebagai modal berkempen untuk meraih undi.
  • Sebaliknya, parti, pemimpin politik dan bakal calon seharusnya memberi fokus kepada tawaran masing-masing dalam menjaga serta meningkatkan kebajikan rakyat.
  • Penganalisis politik daripada Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali, tidak menolak kemungkinan isu terbabit digunakan sebagai modal kempen pada PRN kelak.
  • “Jika dilihat pada trend Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, isu agama dan kaum menjadi modal sepanjang tempoh berkempen, ada juga isu ‘survival’ Melayu dan isu ini dijangka terus digunakan pada PRN nanti,” katanya kepada BH, semalam.

PUTRAJAYA: Semua pihak yang bakal bertanding pada enam pilihan raya negeri (PRN) tidak wajar lagi menjadikan isu kaum dan agama sebagai modal berkempen untuk meraih undi.

Sebaliknya, parti, pemimpin politik dan bakal calon seharusnya memberi fokus kepada tawaran masing-masing dalam menjaga serta meningkatkan kebajikan rakyat.

Penganalisis politik daripada Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali, tidak menolak kemungkinan isu terbabit digunakan sebagai modal kempen pada PRN kelak.

Katanya, cubaan memanipulasi isu kaum dan agama demi keuntungan politik hanya akan mengundang lebih banyak mudarat dan mengancam keamanan serta keharmonian rakyat di negara ini.

“Jika dilihat pada trend Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, isu agama dan kaum menjadi modal sepanjang tempoh berkempen, ada juga isu ‘survival’ Melayu dan isu ini dijangka terus digunakan pada PRN nanti.

“Kempen sebegini tidak seharusnya berlaku kerana ia hanya akan memberi mudarat dan menggugat keamanan negara,” katanya kepada BH, semalam.

Mazlan berkata, selain kaum dan agama, isu pilih kasih dan layanan terhadap negeri ditadbir pembangkang dijangka dimainkan sepanjang kempen PRN.

“Pembangkang dijangka guna isu Kerajaan Perpaduan sekarang tidak bertindak terhadap perasuah dan melakukan pendakwaan terpilih. Isu sebegini akan digunakan mereka untuk meraih sokongan rakyat,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr Azmi Hassan, menjangkakan isu keserasian dalam kalangan parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan menjadi naratif pembangkang pada PRN.

Katanya, ia kerana pembangkang mendakwa pengundi Melayu lebih mempercayai mereka dan menolak Kerajaan Perpaduan.

“Isu penarikan semula rayuan kalimah ‘Allah’ juga sudah pasti akan digunakan sepenuhnya untuk menggambarkan bagaimana UMNO begitu lemah tidak mempertahankan walaupun penjelasan sudah diberikan oleh kerajaan.

“Ini akan menjadi senjata utama pembangkang bahawa mereka lebih layak untuk mentadbir negara, lebih stabil kerana sebahagian besar pengundi Melayu menyokong mereka,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Author