Agama
Fatwa jihad Palestin: Dr Zulkifli seru pemimpin Islam beraksi, Bukan lagi diplomasi dan bantah

- “Sudah sampai masanya pemerintah dan pemimpin umat Islam mengambil tindakan sewajarnya dan bukan hanya lagi secara diplomasi, atau surat bantahan, tetapi hendaklah secara aksi.”
- Demikian seruan bekas Menteri Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri susulan fatwa dikeluarkan Al-Ittihad al-‘Alami li Ulama al-Muslimin (Kesatuan Ulama Islam Sedunia) dan Dar al-Ifta’ al-Misriyyah terkait jihad di Palestin.
- Beliau mengingatkan bahawa tanggungjawab membela saudara seagama tidak lagi boleh dipandang enteng dan ringan oleh mana-mana umat Islam.
KUALA LUMPUR — “Sudah sampai masanya pemerintah dan pemimpin umat Islam mengambil tindakan sewajarnya dan bukan hanya lagi secara diplomasi, atau surat bantahan, tetapi hendaklah secara aksi.”
Demikian seruan bekas Menteri Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri susulan fatwa dikeluarkan Al-Ittihad al-‘Alami li Ulama al-Muslimin (Kesatuan Ulama Islam Sedunia) dan Dar al-Ifta’ al-Misriyyah terkait jihad di Palestin.
Zulkifli yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan turut menyeru seluruh pemimpin umat Islam dan masyarakat tanpa mengenal warna kulit, bahasa dan bangsa untuk bersatu menidakkan keangkuhan rejim Zionis.
Beliau mengingatkan bahawa tanggungjawab membela saudara seagama tidak lagi boleh dipandang enteng dan ringan oleh mana-mana umat Islam.
“…maka apakah yang berlaku dengan lebih 50,000 nyawa (April 2025 sejak Taufan al-Aqsa) telah syahid tanpa sebarang pembalasan, bahkan lebih murah daripada secawan kopi.
“Lebih malang lagi, peristiwa ini berlaku di bulan yang mulia, Ramadhan dan hari lebaran, Aidilfitri di mana saat seluruh umat Islam menyambut hari raya dengan penuh kegembiraan.
“Tetapi mereka menyambut dengan kematian dan darah-darah yang menjadi saksi menyimbah ke bumi,” katanya menerusi petikan di beberapa buah poster yang dimuat naik di Facebook pada Selasa.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri.
Difahamkan, poster-poster disiarkan itu adalah sebahagian petikan kecil daripada artikel khas dikeluarkan Zulkifli bertajuk “Jihad di Palestin: Satu Pandangan Awal” di aplikasi Al-Inarah di mana penghujahan penuh berkenaan isu tersebut akan beliau kemukakan dalam masa beberapa hari lagi.
Jawatankuasa Ijtihad dan Fatwa Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia sebelum ini dilapor mengeluarkan fatwa berhubung kesinambungan serangan ke atas Gaza dan pelanggaran gencatan senjata oleh rejim penjajah Israel.
Antara isi penting fatwa tersebut adalah kewajipan berjihad dengan senjata bagi setiap Muslim berkemampuan demi membebaskan Palestin daripada penjajahan.
Kewajipan campur tangan ketenteraan segera oleh negara-negara Arab dan Islam untuk menghentikan pencerobohan serta mempertahankan rakyat Palestin dan kewajipan berjihad dengan harta untuk membantu saudara kita di Gaza serta mendesak pembukaan laluan sempadan untuk bantuan kemanusiaan.
Fatwa itu turut mengharamkan tindakan membekal minyak dan gas kepada pihak penjajah yang menindas rakyat Palestin serta sebarang jalinan normalisasi dengan zionis.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata pada peringkat awal ini, sekurang-kurangnya kita perlu menghulurkan bantuan harta benda dan wang ringgit melalui NGO Islam dipercayai.
“Begitu juga, mengangkat kedua belah tangan memohon munajat kepada Yang Maha Esa lagi Maha Berkuasa agar diberi kemenangan kepada umat Islam serta dikalahkan musuh-musuh,” katanya. — The Merdeka Times
