Connect with us

Terkini

HIMP 2030 kukuhkan Malaysia sebagai pemimpin industri halal

Malaysia berupaya mengekalkan kedudukannya sebagai pemimpin utama pengeluaran produk dan perkhidmatan halal berkualiti tinggi di peringkat global.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

HIMP 2030 kukuhkan Malaysia sebagai pemimpin industri halal
Foto: Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (kiri), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kanan).
  • Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata Malaysia mempunyai ekosistem yang menyeluruh dalam pembangunan halal termasuk perdagangan dan pelaburan.
  • Pendekatan berterusan kerajaan dalam majukan industri halal seperti pelancaran Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030) akan bantu jadikan Malaysia sebagai peneraju halal global.
  • HIMP 2030, telah menetapkan tindakan jelas bagi merancang bagaimana Malaysia boleh memanfaatkan secara strategik pertumbuhan permintaan global untuk produk dan perkhidmatan halal.
  • Ia juga mengukuhkan peranan kepimpinan Malaysia dengan memanfaatkan ekosistem industri halal diiktiraf dunia dan kepakaran sedia ada.
  • “Malaysia pernah sekali lagi disenaraikan ekonomi halal terkemuka di dunia untuk tahun kesembilan berturut-turut. HIMP 2030 akan membantu mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemimpin global yang tidak boleh dipertikaikan dalam industri halal.”

KUALA LUMPUR: Malaysia berupaya mengekalkan kedudukannya sebagai pemimpin utama pengeluaran produk dan perkhidmatan halal berkualiti tinggi di peringkat global.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata Malaysia mempunyai ekosistem yang menyeluruh dalam pembangunan halal termasuk perdagangan dan pelaburan.

Beliau berkata, pendekatan berterusan kerajaan dalam memajukan industri halal seperti pelancaran Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030) akan membantu menjadikan Malaysia sebagai peneraju halal global.

HIMP 2030, katanya telah menetapkan tindakan yang jelas bagi merancang bagaimana Malaysia boleh memanfaatkan secara strategik pertumbuhan permintaan global untuk produk dan perkhidmatan halal.

Katanya, ia juga mengukuhkan peranan kepimpinan Malaysia dengan memanfaatkan ekosistem industri halal yang diiktiraf dunia dan kepakaran sedia ada.

“Malaysia pernah sekali lagi disenaraikan sebagai ekonomi halal terkemuka di dunia untuk tahun kesembilan berturut-turut. HIMP 2030 akan membantu mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemimpin global yang tidak boleh dipertikaikan dalam industri halal.

“Melalui HIMP 2030, kami mengunjurkan bahawa industri halal kita akan berkembang kepada AS$113.2 billion menjelang 2030, dengan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 8.1 peratus menjelang 2025,” katanya ketika melancarkan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS 2023) di sini, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, data daripada Frost & Sullivan menunjukkan ekonomi halal pasca pandemik akan mencapai AS$5 trilion menjelang 2030.

Beliau berkata, populasi Muslim global kini melebihi 1.9 billion orang dan akan terus berkembang, sekali gus menyediakan prospek pertumbuhan yang cerah dan memberikan lebih banyak peluang untuk negara.

Malah, katanya eksport halal Malaysia meningkat dengan memberangsangkan sebanyak 63.8 peratus kepada RM59.46 bilion pada 2022, memberi makna industri halal menjadi semakin penting untuk perniagaan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Kerajaan yakin dapat mencapai matlamat sebagai peneraju halal berdasarkan kepada pelaburan yang telah dilaksanakan dalam meningkatkan ekosistem halal termasuk mempromosikan R&D halal dan memupuk infrastruktur yang membolehkan menyokong pengeluaran dan pengedaran halal.

“Ia juga akan menjana pendapatan dan pekerjaan, kunci kepada pembangunan ekonomi di samping mewujudkan limpahan positif kepada kehidupan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menyasar mencapai jualan bernilai RM2.1 bilion semasa MIHAS 2023 ke-19 yang akan berlangsung dari 12 hingga 15 September depan.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz, berkata jumlah itu mampu dicapai dengan pembukaan semula sempadan China yang memberi manfaat positif memandangkan negara itu adalah rakan dagang utama Malaysia.

Beliau berkata, kedudukan Malaysia dalam industri halal global juga menjadi pemangkin untuk merekodkan jualan dan jalinan kerjasama membabitkan semua kluster utama dalam pameran itu.

Katanya, MIHAS 2022 yang diadakan tahun lalu mencapai jualan memberangsangkan melebihi sasaran kepada RM2.3 billion.

“MIHAS adalah pameran halal terbesar global serta peranan yang terus dimainkan Malaysia dalam industri halal menjadikan kita sebagai antara peserta halal utama global.

“Justeru, MIHAS 2023 dijangka akan menjadi penganjuran terbesar sejak pandemik dengan penyertaan 1,500 reruai membabitkan 13 kluster utama serta pavilion dari 40 negara,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *