Terkini
Mufti Pulau Pinang gesa undang-undang promosi arak disemak dan diperbaiki
Mufti Pulau Pinang Wan Salim Mohd Noor menggesa supaya undang-undang berkaitan penjualan dan promosi arak di negeri itu diperbaiki, kerana sensitiviti semua pihak mesti dipertimbangkan.
- “Pada pandangan saya undang-undang berkaitan penjualan dan pengambilan arak perlu dikemaskini dan diperbaiki supaya lebih jelas apa yang dibenarkan atau sebaliknya”. – Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Mohd Noor
- “Ini bagi pastikan sensitiviti masyarakat Islam diambil kira dan kekalkan keharmonian sesama bangsa di negara ini.
- “Lebih baik tidak promosikan arak secara terbuka pada orang ramai. Cukuplah menjualnya di kawasan dikhususkan untuk golongan bukan Islam,” katanya.
- Mufti Pulau Pinang turut menggesa umat Islam bersikap lebih toleransi terhadap budaya kaum lain.
GEORGE TOWN: Mufti Pulau Pinang Wan Salim Mohd Noor menggesa supaya undang-undang berkaitan penjualan dan promosi arak di negeri itu diperbaiki, kerana sensitiviti semua pihak mesti dipertimbangkan.
Mengulas bantahan Ahli Parlimen Permatang Pauh Fawwaz Md Jan terhadap penjualan bir di sebuah pusat beli-belah di Perai menjelang Tahun Baharu Cina, Wan Salim berkata beliau bersetuju ia tidak wajar dilakukan secara terbuka.
“Pada pandangan saya undang-undang berkaitan penjualan dan pengambilan arak perlu dikemaskini dan diperbaiki supaya lebih jelas apa yang dibenarkan atau sebaliknya,” katanya kepada FMT.
“Ini bagi memastikan sensitiviti masyarakat Islam diambil kira, dan mengekalkan keharmonian sesama bangsa di negara ini.
“Lebih baik tidak mempromosikan arak secara terbuka kepada orang ramai. Cukuplah menjualnya di kawasan dikhususkan untuk golongan bukan Islam.”
Beliau pada masa sama menggesa umat Islam bersikap lebih toleransi terhadap budaya lain.
“Umat Islam juga perlu lebih bersikap inklusif dan toleransi terhadap budaya orang lain yang menjadi sebahagian daripada negara demokrasi ini. Keadaannya berbeza dengan Timur Tengah di mana orang Islam menjadi majoriti yang besar.
“Umat Islam di Malaysia mesti memegang konsep muwatanah, iaitu perkongsian tanah dan kewujudan bersama.
“Ajaran Islam fleksibel dan membolehkan penyesuaian dilakukan seiring masa, tempat dan persekitaran. Pemahaman tegar bukan saja bertentangan dengan semangat Islam sendiri, malah menghalang hidayah memasuki hati dan pemikiran orang.”
Dalam hantaran di TikTok, Fawwaz mendakwa pengunjung beragama Islam ke pusat beli-belah itu merasa kurang selesa kerana arak dijual secara terbuka.
Kenyataannya itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Seorang ADUN dari Pulau Pinang, Daniel Gooi menyifatkan Fawwaz melampaui skop kerjanya sebagai Ahli Parlimen sebaliknya menjadi polis moral, malah melihat tindakannya sebagai menggugat keharmonian penduduk pelbagai bangsa di negeri itu.
Sumber: Free Malaysia Today