Terkini
Azalina tegaskan kuasa Peguam Negara, Pendakwa Raya akan diasingkan
Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said sekali lagi menegaskan bahawa beliau akan memastikan pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya menjadi langkah utama reformasi undang-undang negara.
- “Pemisahan Pendakwa Raya (PP) dan Peguam Negara (AG) adalah penting untuk ketelusan selain memastikan sebarang pendakwaan adalah berdasarkan keterangan yang mencukupi dan tiada pendakwaan terpilih.
- “Ini adalah antara langkah-langkah utama dalam Reformasi Undang-undang di negara kita!” – Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said
KUALA LUMPUR – Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said sekali lagi menegaskan bahawa beliau akan memastikan pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya menjadi langkah utama reformasi undang-undang negara.
“Pemisahan Pendakwa Raya (PP) dan Peguam Negara (AG) adalah penting untuk ketelusan selain memastikan sebarang pendakwaan adalah berdasarkan keterangan yang mencukupi dan tiada pendakwaan terpilih.
“Ini adalah antara langkah-langkah utama dalam Reformasi Undang-undang di negara kita!” katanya menerusi ciapan di Twitter hari ini.
Ahli Parlimen Pengerang itu membuat ciapan demikian bagi mengulas kenyataan dibuat Prof Madya Dr Muzaffar Shah Mallow dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sebuah laporan media tempatan, di mana beliau menyambut baik langkah pengasingan kuasa dilakukan Azalina.
Dr Muzaffar Shah dalam kenyataan itu berkata, usaha yang sedang diambil bagi memisahkan kedua-duanya perlu dilaksanakan segera bagi memantapkan lagi sistem demokrasi dan proses undang-undang dalam negara kita.
Pada 7 Disember, Azalina dilaporkan memulakan langkah pertama dalam usaha melakukan pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya dengan mengadakan pertemuan bersama Jabatan Peguam Negara (AGC) yang diketuai Peguam Cara Negara Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh bagi berbincang perkara itu.
Pertemuan itu membawa kepada AGC akan menyediakan satu kertas pelan pengubahsuaian jabatan itu. – The Merdeka Times