Antarabangsa
Ribuan masjid cuba dituntut nasionalis Hindu dalam usaha ubah sejarah India
Nasionalis Hindu di India cuba menuntut masjid-masjid di India dengan mendakwanya sebagai bangunan kuil hindu yang dirampas.

- Nasionalis Hindu cuba menutut Masjid Shamsi Jama berusia 800 tahun di bandar Uttar Pradesh.
- Mereka mendakwa masjid itu merupakan kuil Hindu yang dirampas dan dijadikan sebuah masjid.
- Antara tuntutan, penganut Hindu mempunyai hak pemilikan tanah dan patut dibenarkan beribadah di sana.
- Bagaimanapun, kes dianggap tidak mempunyai asas undang-undang kukuh memandangkan tiada penganut Hindu pernah beribadah di sana sejak 800 tahun lalu, demikian kata peguam bela jawatankuasa masjid, Anwer Alam.
Nasionalis Hindu di India cuba menuntut masjid-masjid di India dengan mendakwanya sebagai bangunan kuil hindu yang dirampas.
Salah satunya ialah Masjid Shamsi Jama berusia 800 tahun di bandar Uttar Pradesh.
Masjid berkubah putih itu merupakan salah satu masjid terbesar dan tertua di India.
Dua peguam, VP Singh dan rakannya, BP Singh berselisih pendapat mengenai pemilikannya.
Memetik laporan The Guardian, BP Singh mendakwa masjid itu adalah kuil yang suci bagi Hindu, bukannya masjid orang Islam.
Rekod sejak 1856 merujuk bangunan berkubah putih itu sebagai masjid yang berfungsi.
Menurut masyarakat Islam tempatan, mereka beribadah di sana tanpa gangguan sejak ia dibina seorang raja Islam Shamsuddin Iltutmish pada 1223.
Bagaimanapun, kedua peguam itu mempunyai pendapat berbeza.
Pada Julai, mereka memfailkan kes mahkamah bagi pihak seorang petani Hindu tempatan mendakwa Masjid Shamsi Jama merupakan “bangunan haram” yang dibina selepas memusnahkan kuil Hindu abad ke-10 untuk dewa Shiva.
Kes itu turut disokong parti nasionalis Hindu sayap kanan Akhil Bharat Hindu Mahasabha (ABHM).
Petisyen mereka turut menyatakan penganut Hindu mempunyai hak pemilikan tanah dan patut dibenarkan beribadah di sana.
Kedua peguam ini tidak menjumpai titik persefahaman mengani fakta sejarah.
BP Singh pada mulanya mendakwa kuil Hindu asal telah dimusnahkan raja Muslim yang zalim, tetapi disanggah VP Singh yang mengatakan kuil itu hanya diubahsuai, bukannya dimusnahkan.
“Kebanyakan kuil Hindu asal masih ada,” kata VP Singh dan mendakwa motif bunga teratai yang dilukis di bahagian dalam kubah masjid adalah buktinya.
Namun tinjuan The Guardian ke masjid itu mendapati tiada motif bunga teratai seperti yang didakwa, hanyalah tulisan khat ayat-ayat suci Al-Quran.
Lebih lantang lagi, VP Singh berkata “Sebenarnya ini bukan masjid, ia tidak pernah digunakan untuk solat sehinggalah baru-baru ini apabila orang Islam mendudukinya secara paksa dan cuba mengubahnya menjadi masjid.”
Dia mendakwa mempunyai “bukti” tetapi tidak dapat mengemukakannya.
“Apabila orang Islam memerintah, kami orang Hindu semua dianiaya, kami dibunuh dan diseksa,” tambah BP Singh. “Sekarang kami mengambil semula apa yang menjadi hak kami.”
Kes itu menimbulkan kekeliruan masyarakat Islam tempatan yang mempertahankannya di mahkamah.
Peguam bela jawatankuasa masjid, Anwer Alam mempersoalkan “Bagaimana anda boleh mendakwa ini bukan masjid? Tiada penganut Hindu yang pernah beribadah di masjid ini sejak penubuhannya 800 tahun lalu. Tuntutan ini tidak mempunyai asas undang-undang.”
Tetapi mereka yang bekerja di sebalik kes itu berkata tuntutan masjid ini hanyalah permulaan. “Kami mempunyai kira-kira 3,000 senarai yang telah kami putuskan untuk menuntut semula secara sah,” kata Sanjay Hariyana, jurucakap ABHM negeri.
Sumber: The Guardian
