Terkini
Guna Bahasa Melayu, elak kata kesat ketika kempen
Semua calon parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sewajarnya menggunakan bahasa Melayu dengan sebaiknya untuk memikat pengundi kerana bahasa yang baik, terpuji dan berhemah melambangkan keperibadian penuturnya.

- Seorang pemimpin seharusnya menunjukkan contoh tauladan kepada rakyat menerusi penggunaan bahasa kebangsaan dengan penuh kesopanan dan rasa hormat antara satu sama lain. – Prof Madya Dr Salina Jaafar
- “Bahasa kasar dan kesat ini akan turut diperhatikan oleh golongan muda yang mana rata-rata mereka menggunakan media sosial untuk mempengaruhi orang lain yang boleh mendatangkan kesan negatif dan rasa hormat kepada calon itu akan terhakis,” – Prof Dr Nor Hashimah Jalaluddin
- Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.
KOTA BHARU, 8 Nov (Bernama) — Semua calon parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sewajarnya menggunakan bahasa Melayu dengan sebaiknya untuk memikat pengundi kerana bahasa yang baik, terpuji dan berhemah melambangkan keperibadian penuturnya.
Pensyarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya Prof Madya Dr Salina Jaafar berkata sebagai seorang pemimpin mereka seharusnya menunjukkan contoh tauladan kepada rakyat menerusi penggunaan bahasa kebangsaan dengan penuh kesopanan dan rasa hormat antara satu sama lain.
“Jika mereka (calon) tidak hormat kepada bahasa kebangsaan sendiri, mereka sebenarnya hilang hormat kepada diri sendiri. Bagaimana rakyat mahu menghormatinya kalau mereka tidak hormat kepada bahasa kebangsaan ini?
“Oleh itu, calon-calon ini perlu menunjukkan rasa hormat mereka kepada bahasa supaya diikuti oleh semua rakyat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Felo Tamu Institut Alam dan Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Nor Hashimah Jalaluddin pula berkata dalam keghairahan berkempen, calon politik yang bertanding masih terikat dengan penggunaan bentuk bahasa dengan adab dan budaya bangsa sebagai orang timur.
“Penggunaaan bahasa yang kesat merupakan ekspresi yang kasar dan kurang adab kerana ia boleh membawa pelbagai jenis interpretasi dalam kalangan pengundi seperti calon yang kasar tutur katanya, emosional, tidak menghormati pendengar, mempunyai sifat panas baran, memandang rendah kepada lawan dan merasa angkuh.
“Bahasa kasar dan kesat ini akan turut diperhatikan oleh golongan muda yang mana rata-rata mereka menggunakan media sosial untuk mempengaruhi orang lain yang boleh mendatangkan kesan negatif dan rasa hormat kepada calon itu akan terhakis,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini turut menyarankan supaya penggunaan bahasa rasmi dalam setiap urusan rasmi negara termasuk persidangan antarabangsa perlu didaulatkan sejajar dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.
Beliau berkata kementerian dan agensi kerajaan perlu menjadi contoh terbaik dalam usaha memantapkan penggunaan bahasa kebangsaan.
Sumber: Bernama
