Antarabangsa
Dituduh mencuri kerusi tandas, lelaki Dalit/Paria dipukul, kepala dicukur dan muka dihitamkan
Seorang lelaki Dalit dipukul, kepalanya dicukur dan mukanya dihitamkan susulan didakwa mencuri di Bahraich, Uttar Pradesh, demikian lapor India Today.

- Seorang lelaki Dalit dipukul, kepalanya dicukur dan mukanya dihitamkan selepas dituduh mencuri di Bahraich, Uttar Pradesh, India.
- Lelaki itu diikat di sebuah tiang manakala tiga individu menyerangnya kerana didakwa mencuri kerusi tandas dari sebuah rumah.
- Tanpa menyerahkan lelaki itu kepada polis, kumpulan itu bertindak membelasah dan menyerangnya.
- Dalit atau Paria dalam sistem kasta masyarakat Hindu di India merujuk kepada individu yang tergolong dalam kelompok paling rendah dalam sistem kasta (malah ada mengatakannya ia di luar sistem kasta) dan diharamkan untuk disentuh atau ‘untouchable’.
INDIA – Seorang lelaki Dalit dipukul, kepalanya dicukur dan mukanya dihitamkan susulan didakwa mencuri di Bahraich, Uttar Pradesh, demikian lapor India Today.
Lelaki itu, Rajesh Kumar, diikat di sebuah tiang, manakala tiga individu menyerangnya kerana didakwa mencuri kerusi tandas dari sebuah rumah di kawasan Hardia di daerah Bahraich.
Hantaran video Rajesh Kumar diserang kumpulan itu menjadi tular di media sosial.
Dalam video itu, orang ramai dilihat bersorak sambil merakamkan video ketika kepalanya dicukur dan mukanya dihitamkan.
Tanpa menyerahkan Rajesh Kumar kepada polis, kumpulan itu bertindak membelasah dan menyerangnya.
Sebahagian kening dan misai pemuda itu juga turut dicukur orang ramai.
Satu kes didaftarkan terhadap tiga individu, yang merupakan penduduk kampung Kotia di bawah tuduhan serangan dan ugutan jenayah.
Mereka juga didakwa di bawah peruntukan undang-undang untuk menghukum jenayah terhadap Kasta Terjadual dan Suku Terjadual.
Dalit atau Paria dalam sistem kasta masyarakat Hindu di India merujuk kepada individu yang tergolong dalam kelompok paling rendah dalam sistem kasta (malah ada mengatakannya ia di luar sistem kasta) dan diharamkan untuk disentuh atau ‘untouchable’.
Dalit dilarang melakukan pekerjaan, kecuali pekerjaan yang dianggap ‘kotor’ atau ‘tidak bermaruah’ bagi masyarakat kasta tinggi seperti kerja pembersihan, kutip sampah dan buruh binaan.
Sistem kasta di India dilaporkan dimansuhkan pada 1950-an tetapi sistem hieraki sosial berusia 2,000 tahun itu, yang menetapkan kedudukan individu berdasarkan keturunan kelahirannya, masih wujud dalam kehidupan harian masyarakat Hindu di India.
Sumber: India Today
