Terkini
Kotor dan menjijikkan! Pusat penyembelihan ayam diarah tutup – DBKL
Sebuah pusat penyembelihan ayam di Desa Tun Razak, Cheras diarah tutup serta-merta oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Selasa selepas didapati melakukan enam kesalahan, antaranya beroperasi dalam keadaan kotor dan menjijikkan.
- Premis itu beroperasi di Desa Tun Razak, Cheras dan diarah tutup oleh DBKL pada Selasa selepas didapati melakukan enam kesalahan.
- Pekerja didapati tidak mendapatkan suntikan tifoid dan gagal mempamerkan dokumen pengenalan kerana majoriti pekerja warga asing.
- Operasi terbabit dijalankan bersama JASWPK, IWK dan SPAN.
- Dikenakan kompaun di bawah Undang-Undang Kecil 23(3)(b)- UUK Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016 dan Seksyen 47 (1)(d) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.
CHERAS – Sebuah pusat penyembelihan ayam di Desa Tun Razak, Cheras diarah tutup serta-merta oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Selasa selepas didapati melakukan enam kesalahan, antaranya beroperasi dalam keadaan kotor dan menjijikkan.
Menerusi kenyataan dikeluarkan daripada Facebook DBKL, pihak mereka bersama agensi lain iaitu Jabatan Alam Sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JASWPKL), Indah Water Konsortium (IWK) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah melakukan pemeriksaan ke atas pusat penyembelihan tersebut pada jam satu pagi pada hari Selasa.
Operasi melibatkan keseluruhan 21 orang anggota itu mendapati lantai dan dinding ruang proses penyembelihan ayam dalam premis berkenaan berada dalam keadaan sangat teruk dengan berkarat, berlumut dan berdaki.
Susulan itu, premis berkenaan turut dikenakan kompaun di bawah Undang-Undang Kecil 23(3)(b)- UUK Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016 dan Seksyen 47 (1)(d) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.
Dalam kenyataan sama, DBKL memaklumkan, Notis Perintahan Penutupan Di bawah Akta Makanan 1983 iaitu arahan pembersihan dan penambahbaikan berkuatkuasa hari ini (semalam).
JASWPKL turut mengambil sampel air untuk dianalisa dan penahanan operasi kelengkapan di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta 127.
Berikut senarai kesalahan premis berkenaan:
- Lantai dan dinding di ruang proses berkarat, berlumut, berdaki hitam dan kotor hasil aktiviti sembelihan ayam.
- Semua pengendali makanan di premis tidak mendapatkan suntikan tifoid dan gagal mempamerkan dokumen pengenalan kerana hampir semua pekerja merupakan warga asing.
- Tiada sistem penapisan sisa efluen/water treatment.
- Sisa efluen/fizikal/darah tanpa dirawat hasil aktiviti penyembelihan ayam terus dialirkan ke saliran/longkang awam.
- Meletakkan atau memproses ayam mentah di atas lantai.
- Tandas kotor dan tiada kelengkapan asas.
Sumber : Facebook Dewan Bandaraya Kuala Lumpur