Terkini
Peniaga muslim jual nasi ayam bukan muslim
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menggesa pihak berkuasa agama Islam negeri ini menyiasat tindakan peniaga nasi ayam Islam yang didakwa membeli makanan itu dari kedai bukan Islam.

- Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor gesa pihak berkuasa agama Islam negeri itu siasat tindakan peniaga nasi ayam Islam didakwa beli makanan itu dari kedai bukan Islam kemudiannya dijual kepada pelanggan muslim.
- Jika didapati benar dakwaan itu, pelakunya perlu dihadapkan ke mahkamah untuk dikenakan tindakan sewajarnya ikut undang-undang.
- Tular satu video dua lelaki dipercayai berbangsa Melayu datang ke restoran bukan Islam di Paya Terubong ambil pesanan nasi ayam dan dipercayai dijual kepada pelanggan di gerai mereka di Sungai Ara.
- Tindakan itu tidak wajar dan dianggap menipu masyarakat Muslim yang bersangka baik kepada peniaga beragama Islam, malah amat menyedihkan apabila ada orang Islam tidak lagi mempedulikan hukum agama.
- “Perbuatan sedemikian adalah berdosa menyebabkan masyarakat Islam memakan ayam yang tak halal kerana sudah menjadi bangkai. Ini bertentangan dengan firman Allah SWT di dalam al-Quran. Umat Islam diwajibkan makan makanan halal, manakala memakan bangkai diharamkan menurut nas al-Quran.”
GEORGETOWN: Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menggesa pihak berkuasa agama Islam negeri ini menyiasat tindakan peniaga nasi ayam Islam yang didakwa membeli makanan itu dari kedai bukan Islam.
Menurut Berita Harian, beliau berkata, jika didapati peniaga itu kemudian menjual nasi ayam dibeli dari kedai bukan Islam kepada pelanggan Muslim, pelakunya perlu dihadapkan ke mahkamah untuk dikenakan tindakan sewajarnya mengikut undang-undang.
Beliau mengulas video tular mengenai dua lelaki dipercayai berbangsa Melayu datang ke sebuah restoran bukan Islam di Paya Terubong di sini, untuk mengambil pesanan nasi ayam dan dipercayai dijual kepada pelanggan di gerai mereka di Sungai Ara.
Video berkenaan mendapat pelbagai reaksi netizen dan ada yang mendakwa pernah membeli juadah itu di gerai mereka.
Wan Salim menyifatkan tindakan berkenaan sebagai tidak wajar dan dianggap menipu masyarakat Muslim yang bersangka baik kepada peniaga beragama Islam, malah amat menyedihkan kerana menunjukkan ada dalam kalangan orang Islam tidak lagi mempedulikan hukum agama.
“Pelanggan Muslim menyangka ayam itu sudah disembelih mengikut kaedah hukum syarak serta halal dimakan namun, rupa-rupanya diambil dari kedai orang bukan Islam dan besar kemungkinan tidak halal.
“Perbuatan sedemikian adalah berdosa menyebabkan masyarakat Islam memakan ayam yang tak halal kerana sudah menjadi bangkai. Ini bertentangan dengan firman Allah SWT di dalam al-Quran.
“Umat Islam diwajibkan makan makanan halal, manakala memakan bangkai diharamkan menurut nas al-Quran,” katanya menerusi kenyataan di sini, pada Isnin.
Sumber : Berita Harian
