Komuniti
Kuliah subuh terlalu bising, seorang lelaki rampas mikrofon penceramah
Tindakan seorang lelaki menarik mikrofon daripada seorang penceramah dan menjerit mendakwa ceramah yang disampaikan terlalu bising dan mengganggunya membawa padah apabila suspek ditahan, pada Isnin.

- Seorang lelaki ditahan akibat menarik mikrofon penceramah dan menjerit mendakwa ceramah disampaikan terlalu bising dan mengganggu.
- Kejadian berlaku pada Ahad ketika kuliah subuh di surau Ampang Campuran.
- “Tindakan suspek tidak beradab dan telah mengganggu tempat ibadah dan jemaah surau yang lain.” – Ketua Polis Daerah Ampang Jaya.
- Suspek bekerja sebagai penjaga stor diberkas pada Isnin kira-kira jam 7 malam di sekitar Ampang dan didapati mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah dan ugutan jenayah.
- Suspek direman empat hari hingga 12 Ogos untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1956.
AMPANG – Tindakan seorang lelaki menarik mikrofon daripada seorang penceramah dan menjerit mendakwa ceramah yang disampaikan terlalu bising dan mengganggunya membawa padah apabila suspek ditahan, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian jam 7.06 pagi di sebuah Surau Baitul Ehsan Ampang Campuran pada Ahad itu berlaku ketika kuliah subuh, lapor Sinar Harian.
“Ketika kejadian, suspek menuju ke arah penceramah lalu menarik mikrofon dan menjerit menyatakan kuliah tersebut terlalu bising dan mengganggunya.
“Tindakan suspek tidak beradab dan telah mengganggu tempat ibadah dan jemaah surau yang lain,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Katanya, tindakan suspek kemudiannya dihalang jemaah surau yang lain.
“Jemaah surau meminta suspek meninggalkan surau tersebut dengan cara baik,” katanya.
Menurutnya, suspek yang bekerja sebagai penjaga stor diberkas pada Isnin kira-kira jam 7 malam di Jalan Ikan Emas Mesra.
“Semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah dan ugutan jenayah,” katanya.
Tambahnya, suspek berusia 34 tahun itu direman empat hari sehingga 12 Ogos untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan iaitu berniat melukakan perasaan agama seseorang yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai setahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.
Kes juga disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1956 iaitu kelakuan aib dan boleh dikenakan denda tidak lebih RM100, ujar beliau.
Sumber : Sinar Harian, Malaysiagazette
