Terkini
“Kemiskinan haid bukti masih ramai miskin tegar di negara ini,” – Farrah Adeeba
Aktivitis Kemanusiaan, Farrah Adeeba berkata isu kemiskinan haid adalah simptom kepada penyakit kemiskinan tegar yang hari ini masih menghantui negara hinggakan wujud golongan tidak mampu untuk membeli tuala wanita seperti pad.
- Pemberian tuala wanita percuma bukan penyelesaian jangka panjang kerana isu sebenar berlakunya kemiskinan haid adalah disebabkan masih ramai masyarakat dalam kategori miskin tegar.
- Aktivitis Kemanusiaan, Farrah Adeeba menekankan taraf hidup masyarakat perlu ditingkatkan kerana ia bukan sekadar mengatasi kemiskinan haid tapi juga meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat.
KUALA LUMPUR – Aktivitis Kemanusiaan, Farrah Adeeba berkata isu kemiskinan haid adalah simptom kepada penyakit kemiskinan tegar yang hari ini masih menghantui negara hinggakan wujud golongan tidak mampu untuk membeli tuala wanita seperti pad.
Menurutnya, penyelesaian jangka panjang perlu diketengahkan untuk menangani permasalahan tersebut bukan dengan hanya memberi bantuan tuala wanita secara percuma sedangkan isu akarnya iaitu kemiskinan di dalam negara Malaysia masih terjadi.
“Bila ada lagi masalah tidak boleh akses sanitasi haid seperti ini, menimbulkan persoalan apakah kelompongan sebenar dalam negara kita? Kenapa ada lagi orang dalam keadaan miskin tegar ini?
“Kenapa ada lagi orang tercicir? Jadi kita kena reflect diri kita maksudnya kita kena betul-betul bantu bukan sekadar dalam jangka masa pendek dan apa itu bantuan jangka masa panjang ialah kita kena naik tarafkan hidup seluruh masyarakat kita yang dimulakan dari isu akar antaranya peluang pendidikan,” kata Farrah pada Selasa.
Katanya, jika kita ingin menjadi sebuah negara yang maju, kualiti kehidupan kesemua golongan dari bawahan sampai atasan perlulah ditingkatkan.
“Saya suka menganggap Malaysia ini bukanlah negara ketiga jadi kalau kita nak berada di negara maju kita kena pastikan kesemua orang ada quality of life termasuklah daripada bawah sampailah di atas.
“Kita yang berada di kawasan pertengahan atau di atas tidak boleh berpura-pura kemiskinan haid ini tidak wujud.
“Kalaulah ada suara yang mengatakan ia tidak wujud bukan satu isu dalam negara, maka dia memanglah betul-betul kena turun padang dan tengok,”ujar Farrah yang sebelum ini pernah ke lapangan melihat realiti kehidupan masyarakat di Sabah di mana bukan sahaja masyarakat di sana tidak mampu membeli pad bahkan juga makanan.
Tambahnya, ketika pembentangan permasalahan ini disuarakan di parlimen ianya adalah satu tindakan yang tepat kerana perkara tersebut harus dibincangkan lagi-lagi apabila terkait dengan kesihatan dan kualiti kehidupan.
Mengulas lanjut, Farrah berkata, kita memerlukan kombinasi di antara ilmu dan fasiliti jika ingin mendidik seseorang itu.
“Bayangkan jika kita tidak ada kewangan hanya ada duit untuk membeli makanan dan minuman sahaja, tiada akses air yang sempurna juga tiada akses kepada sanitari pad namun kita hanya ada ilmu untuk survival.
“Ketika kita berada dalam kombinasi situasi ini, apa yang kita akan buat?” ujarnya yang berterusan menekankan bahawa taraf hidup masyarakat perlu dipertingkatkan bermula dengan memberi pendidikan.
Menyentuh berkenaan pembentangan cadangan cuti haid diberikan kepada golongan wanita, Farrah berpandangan perkara tersebut perlu diteliti dan diperhalusi agar sesuatu yang diaplikasikan oleh negara tidak memberi sebarang kesan negatif.