Connect with us

Komuniti

Isu minyak sembahyang: jangan persenda agama lain – Firdaus Wong

“Tertera jelas ‘Minyak Untuk Sembahyang Sahaja’ dan saya percaya admin page tersebut tahu membaca dengan baik,” kata pendakwah bebas itu.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Minyak sembahyang
  •  Ada pihak membuat posting di Facebook kononnya bersyukur kerana minyak masak murah masih ada dengan meletakkan gambar minyak sembahyang penganut bukan Islam.
  • Ia dikongsikan laman FB ‘Visit Melaka’ yang mendapat kecaman netizen yang menyifatkannya sebagai biadap, tidak sensitif dan tidak menghormati penganut agama lain.
  • Perbuatan itu menerima teguran pendakwah bebas, Firdaus Wong yang menyatakan bahawa Islam melarang seseorang itu untuk menipu walaupun dalam bentuk gurauan.

KUALA LUMPUR – Tindakan pihak tertentu yang menjadikan minyak sembahyang penganut bukan Islam sebagai gurauan kononnya harga minyak belum naik menimbulkan keresahan dalam kalangan netizen.

Laman FB ‘Visit Melaka’ sebelum ini memuat naik posting, “Tadi min (admin) pergi belanja barang dapur masih dapat rezeki minyak masak yang berharga RM9.90. Alhamdulillah rezeki min,” dengan sekeping foto minyak untuk sembahyang yang diguna penganut bukan Islam.

Posting itu dikecam netizen yang menyifatkannya sebagai admin page FB terbabit sebagai tidak sensitif dan “low class mentality” serta turut mendapat teguran pendakwah bebas, Firdaus Wong.

Dalam posting Instagramnya semalam, Firdaus Wong berkata pihak terbabit barangkali mahu bergurau tetapi Islam melarang seseorang itu menipu walaupun dalam bentuk gurauan.

“Tertera jelas ‘Minyak Untuk Sembahyang Sahaja’ dan saya percaya admin page tersebut tahu membaca dengan baik,” kata pendakwah bebas itu.

Menyatakan beliau memahami situasi semua pihak yang tertekan dengan kenaikan harga barangan, Firdaus Wong turut menasihatkan semua pihak berhati-hati dalam setiap perbuatan mereka.

Beliau turut memetik hadis Nabi Muhammad saw bersabda, “Celakalah bagi yang berbicara lantas berdusta hanya kerana ingin membuat suatu kaum tertawa. Celakalah dia, celakalah dia”. (HR Abu Daud no.4990 dan Tirmidzi no.3315).

Katanya, sekiranya orang Islam tidak mahu pihak lain menghina Islam atau menjadikan peralatan sinonim dengan Islam seperti songkok, kopiah, telekung, sejadah dan sebagainya sebagai bahan gurauan, maka perbuatan sama tidak seharusnya dilakukan kepada bukan Islam.

Pendakwah bebas itu berkata beliau perlu membuat teguran dalam perkara itu kerana ia adalah perbuatan salah.

“Prinsip saya tetap sama tanpa mengira sesiapa pun. Yang benar itu tetap benar dan yang salah tetap salah. Kita melihat prinsip dan bukannya melihat siapa yang melakukannya,” tegas Firdaus Wong.

Hantaran yang mungkin dianggap jenaka itu dikecam netizen yang meminta admin page terbabit untuk menghormati penganut agama lain selain meminta hantaran itu dipadamkan.

(Sumber: Instagram @firdauswong)

 

Author