Terkini
Naratif kes Emilia tidak tepat dan berniat jahat – peguam SM Faisal
Peguam mewakili SM Faisal, Datuk Akberdin Abdul Kader, berkata naratif itu disebarkan untuk memburukkan nama Mahkamah syariah, perundangan syariah dan plaintif, SM Faisal.
- Naratif kononnya Emilia Hanafi dipenjara hanya kerana sekali menukar tarikh lawatan tiga anaknya ketika suaminya tidak hadir 87 kali tidak diambil tindakan, tidak tepat dan berniat jahat, demikian menurut peguam SM Faisal.
- Tindakan itu hanya bertujuan memburukkan nama Mahkamah syariah, perundangan syariah dan bekas suami Emilia yang juga plaintif, SM Faisal.
- Emilia sebenarnya tidak memberi kerjasama untuk membolehkan anak-anak bertemu ayah mereka.
- Tipu helah digunakan bagi menampakkan SM Faisal sendiri yang tidak hadir berjumpa dengan anak-anaknya, termasuk dengan tidak membawa anak-anak ke lokasi perjumpaan dipersetujui di Serene Kiara, Kuala Lumpur, mengikut Penghakiman Persetujuan pada Julai 2018.
- Sebaliknya Emelia membawa anak-anak mereka rumah bapanya di Country Heights, Kajang kerana tahu bekas suaminya tidak akan hadir ke Kajang dan beliau mempunyai sebab melemparkan tuduhan.
- Emilia serah diri di Mahkamah Syariah untuk menjalani hukuman di Penjara Kajang semalam (Selasa).
KUALA LUMPUR: Naratif berkaitan dakwaan Emilia Hanafi dipenjara hanya kerana sekali menukar tarikh lawatan tiga anaknya, sedangkan bekas suaminya yang juga ahli perniagaan, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin tidak hadir 87 kali tidak diambil tindakan, adalah tidak tepat dan berniat jahat.
Peguam mewakili SM Faisal, Datuk Akberdin Abdul Kader, berkata naratif itu disebarkan untuk memburukkan nama Mahkamah syariah, perundangan syariah dan plaintif, SM Faisal.
Beliau berkata Penghakiman Persetujuan bertarikh 23 Julai 2018 antara plaintif dan defendan, (Emilia) yang direkodkan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur di hadapan Abu Zaky Mohammad, adalah sebaliknya.
Penghakiman Persetujuan itu menyatakan enam bulan pertama bermula Ogos 2018, hak lawatan (tanpa bermalam) adalah pada setiap Sabtu dan Ahad antara jam 9 pagi hingga 8 malam untuk minggu pertama dan minggu ketiga setiap bulan, sementara bermula Februari 2019, hak lawatan dan bermalam diberikan setiap Jumaat daripada jam 6 petang hingga 6 petang (Ahad) untuk minggu pertama dan ketiga setiap bulan.
“Bagaimanapun, SM Faisal tidak pernah sekali dibenarkan berjumpa atau membawa keluar anak-anaknya. Walaupun sudah dipersetujui lokasi perjumpaan di Serene Kiara, Kuala Lumpur, Emilia tidak membawa anak-anaknya ke lokasi itu, sebaliknya menunggu di rumah bapanya di Country Heights, Kajang, Selangor.
“Beliau sengaja berbuat demikian kerana tahu bekas suaminya itu tidak akan hadir di Kajang dan beliau ada sebab melemparkan pelbagai tuduhan. Atas alasan inilah pihaknya menggunakan naratif SM Faisal tidak hadir sebanyak 87 kali walaupun jelas, terma Perintah yang dipersetujui adalah di Serene Kiara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Emilia menyerah diri di Mahkamah Syariah untuk menjalani hukuman di Penjara Kajang.
Semalam, Emilia menyerah diri di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan untuk menjalani hukuman penjara tujuh hari atas kesalahan gagal mematuhi perintah Mahkamah Tinggi Syariah berhubung tarikh lawatan tiga anaknya.
Peguam Syarie, Nazri Yahya yang mewakili Emilia berkata anak guamnya akan menjalani hukuman itu di Penjara Wanita Kajang.
Akberdin berkata, SM Faisal memberikan beberapa notis peringatan kepada Emilia bahawa tindakan ‘unilateral’ atau satu pihak Emilia serta anak-anaknya kononnya ‘menunggu’ di Country Heights, Kajang adalah sia-sia dan bertentangan dengan kehendak Penghakiman Persetujuan.
“SM Faisal melalui peguam turut meminta peguam baru Emilia (ketika itu) menasihati anak guamnya itu agar mematuhi perintah Penghakiman Persetujuan itu.
“SM Faisal juga banyak kali membuat laporan polis terhadap tindakan bekas isterinya itu. Dengan kata lain setiap kali SM Faisal hadir ke Country Heights untuk menjemput anak-anaknya keluar, tetapi gagal, akibat helah Emilia. Akhirnya SM Faisal hanya pulang dengan tangan kosong dan kecewa,” katanya.
SM Faisal tak dapat beri hadiah hari lahir anak
Namun menurut Akberdin, hal itu bukan berlaku sekali dua. Pernah SM Faisal membelikan pelbagai hadiah sempena hari lahir anak-anaknya untuk diberikan di mahkamah syariah tetapi Emilia terus bergegas keluar mahkamah dan memungkiri janjinya agar hadiah itu diserahkan di tingkat bawah parkir mahkamah.
Untuk rekod, pada 4 September 2019, Mahkamah Tinggi Syariah di sini, menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari terhadap Emilia selepas membenarkan permohonan komital (menghina mahkamah) yang difailkan SM Faisal, 43, apabila wanita itu mengubah tarikh lawatan anak-anaknya.
Emilia kemudian dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 sementara menunggu rayuan.
Pada 8 Jun lalu, Emilia turut memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah yang menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari terhadapnya.
Ibu tiga anak itu menamakan SM Faisal, bekas ibu mertuanya Puan Sri Zaleha Ismail, 70 dan lima pihak lain sebagai responden.
Turut dinamakan sebagai responden iaitu Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur dan Kerajaan Malaysia.
Sumber: Berita Harian
Baca berita susulan – Kes Emilia Hanafi – SM Faisal: Fokus kebajikan anak-anak – Persatuan Hak Bapa