Terkini
Kedaulatan Malaysia tidak boleh dibeli dengan bantuan ketenteraan AS – MAPIM
- Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata ancaman Ahli Kongres AS terhadap Malaysia membuktikan bantuan yang diberikan bukanlah semata-mata atas semangat kerjasama strategik, sebaliknya boleh dijadikan instrumen tekanan politik untuk mempengaruhi dasar luar sebuah negara yang berdaulat.
- “Malaysia mesti menghantar mesej yang jelas bahawa kedaulatan negara tidak boleh dibeli, prinsip tidak boleh dipaksa, dan sokongan terhadap Palestin tidak akan dilemahkan oleh sebarang bentuk tekanan asing.
- “Tiada mana-mana negara, walau sehebat mana sekali pun dari segi kekuatan ketenteraan atau ekonomi, berhak menentukan dasar dalam negeri, keputusan imigresen atau dasar luar Malaysia,” katanya.
KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa kerajaan menjalankan kajian menyeluruh terhadap semua bentuk kerjasama pertahanan dengan Amerika Syarikat (AS) bagi memastikan tiada hubungan yang boleh menjejaskan kebebasan membuat keputusan negara pada masa hadapan.
Ia susulan ancaman lapan Ahli Kongres AS yang mahu menggantung bantuan tersebut jika Malaysia tidak mengubah pendiriannya terhadap Israel.
Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata ancaman itu membuktikan bahawa bantuan yang diberikan bukanlah semata-mata atas semangat kerjasama strategik, sebaliknya boleh dijadikan instrumen tekanan politik untuk mempengaruhi dasar luar sebuah negara yang berdaulat.
Beliau berkata Malaysia perlu mengurangkan kebergantungan kepada bantuan yang boleh dijadikan alat tekanan politik.
“Sebaliknya, negara harus memperkukuhkan keupayaan sendiri melalui pembiayaan domestik, pembangunan industri pertahanan tempatan serta kerjasama strategik dengan negara yang menghormati prinsip saling menghormati,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan Malaysia tidak seharusnya meletakkan dirinya dalam kedudukan boleh diugut hanya kerana bantuan yang nilainya amat kecil kerana katanya, maruah negara, kebebasan menentukan dasar luar dan hak mempertahankan prinsip keadilan jauh lebih bernilai.
“Malaysia mesti menghantar mesej yang jelas bahawa kedaulatan negara tidak boleh dibeli, prinsip tidak boleh dipaksa, dan sokongan terhadap Palestin tidak akan dilemahkan oleh sebarang bentuk tekanan asing.
“Tiada mana-mana negara, walau sehebat mana sekali pun dari segi kekuatan ketenteraan atau ekonomi, berhak menentukan dasar dalam negeri, keputusan imigresen atau dasar luar Malaysia,” katanya.
Beliau berkata bantuan ketenteraan AS kepada Malaysia adalah sangat kecil berbanding perbelanjaan pertahanan negara secara keseluruhan. Peruntukan pertahanan Malaysia bagi 2026 mencecah RM21.74 bilion (AS$5.1 bilion), manakala bantuan AS melalui Program Latihan Ketenteraan Antarabangsa (IMET) hanyalah sebahagian kecil daripadanya.
Menurutnya, pendirian Malaysia menyokong perjuangan rakyat Palestin adalah berasaskan prinsip keadilan, kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa, bukan dasar yang boleh diubah melalui ugutan politik
Lapan Ahli Kongres AS yang diketuai Greg Landsman (D-OH-01) dalam surat bertarikh 21 Julai kepada Setiausaha Negara, Marco Rubio menggesa supaya bantuan latihan ketenteraan AS kepada Malaysia digantung dalam tempoh 15 hari kecuali Putrajaya mengubah dasarnya terhadap warga Israel.
Perkara ini susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Malaysia akan mengesan dan mengusir warganegara Israel yang berada di negara ini. Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dan konsisten menyokong perjuangan rakyat Palestin. . – The Merdeka Times