Terkini
PRN Negeri Sembilan: Persaingan rebut 36 kerusi DUN bermula esok
- Tumpuan esok terarah kepada lapan pusat penamaan calon (PPC) di seluruh negeri apabila bakal calon akan mengemukakan kertas pencalonan masing-masing dari 9 pagi hingga 10 pagi, sebelum Pegawai Pengurus Pilihan Raya mengumumkan senarai muktamad calon yang layak bertanding.
- Pakatan Harapan (PH) akan bertanding di semua kerusi 36 DUN dengan menampilkan 16 calon daripada PKR, 11 daripada DAP dan sembilan dari Amanah.
- Barisan Nasional (BN) pula hanya akan bertanding di 25 kerusi DUN menerusi 16 calon daripada UMNO, tujuh calon MCA serta dua calon MIC.
- Perikatan Nasional (PN) mengesahkan akan bertanding di 11 kerusi DUN dengan lima calon daripada PAS, manakala Gerakan serta Malaysian Indian People Party (MIPP) masing-masing meletakkan seorang calon.
SEREMBAN — Persaingan merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 bermula secara rasmi esok dengan proses penamaan calon, sekali gus membuka tempoh berkempen selama 14 hari.
Tumpuan esok terarah kepada lapan pusat penamaan calon (PPC) di seluruh negeri apabila bakal calon akan mengemukakan kertas pencalonan masing-masing dari 9 pagi hingga 10 pagi, sebelum Pegawai Pengurus Pilihan Raya mengumumkan senarai muktamad calon yang layak bertanding.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini, manakala pengundian awal pada 28 Julai.
Berdasarkan statistik SPR, seramai 889,490 pemilih layak mengundi pada PRN kali ini, terdiri daripada 867,151 pengundi biasa, 16,884 anggota tentera dan pasangan serta 5,455 anggota polis dan pasangan.
Kurang 24 jam menuju hari penamaan calon, peta persaingan semakin jelas apabila parti politik melengkapkan senarai calon masing-masing, sekali gus memperlihatkan percaturan awal yang bakal mewarnai pertandingan di 36 kerusi DUN.
Pakatan Harapan (PH) akan bertanding di semua kerusi 36 DUN dengan menampilkan 16 calon daripada PKR, 11 daripada DAP dan sembilan dari Amanah.
Barisan Nasional (BN) pula hanya akan bertanding di 25 kerusi DUN menerusi 16 calon daripada UMNO, tujuh calon MCA serta dua calon MIC.
Perikatan Nasional (PN) mengesahkan akan bertanding di 11 kerusi DUN dengan lima calon daripada PAS, manakala Gerakan serta Malaysian Indian People Party (MIPP) masing-masing meletakkan seorang calon.
Parti Wawasan Negara (Wawasan), parti komponen terbaharu PN, bakal membuat penampilan sulung pada pilihan raya apabila meletakkan calon di empat kerusi DUN.
Bagaimanapun, Bersatu mengumumkan akan bertanding secara solo tanpa PN dengan menggunakan logo sendiri dan dijadual mengumumkan senarai calonnya petang ini.
Persaingan kali ini turut disertai Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang masing-masing akan meletakkan seorang calon, manakala Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dijangka mempertaruhkan tujuh calon.
Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Bersama Malaysia (Bersama) mengesahkan tidak bertanding pada PRN kali ini.
Sementara itu, SPR mengingatkan bakal calon supaya membuat semakan awal borang penamaan calon di Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri bagi melancarkan proses penamaan calon.
Bakal calon juga digalakkan membuat pembayaran deposit lebih awal serta membawa resit pembayaran sebagai bukti ketika mengemukakan kertas penamaan.
Dalam pada itu, ramalan cuaca khas yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan cuaca pada sebelah pagi Sabtu di majoriti kawasan adalah cerah, kecuali Port Dickson dan Seremban yang diramalkan hujan, manakala semua kawasan dijangka dilanda ribut petir di sebelah petang.
DUN Negeri Sembilan dibubarkan secara rasmi pada 5 Jun selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Pada PRN Negeri Sembilan ke-15 pada 2023, PH memenangi 17 daripada 36 kerusi DUN, diikuti BN dengan 14 kerusi dan PN lima kerusi. — BERNAMA