Connect with us

Terkini

PRN Johor: undi masyarakat India kunci kemenangan PH, penentu kestabilan politik – Gunaraj

Published

on

Foto: Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Dr Gunaraj George.
  • Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Dr Gunaraj George berkata walaupun masyarakat India merupakan golongan minoriti di Johor, undi mereka mempunyai nilai strategik dan berpotensi menjadi penentu kemenangan di hampir 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) campuran serta kawasan marginal.
  • “Setiap undi masyarakat India amat bermakna. Walaupun jumlahnya tidak sebesar komuniti lain, pengaruhnya mampu menentukan kemenangan di banyak kerusi penting. Saya yakin masyarakat India akan membuat pilihan yang tepat dengan memberikan mandat kepada PH untuk meneruskan agenda MADANI demi masa depan Malaysia yang lebih makmur, inklusif dan progresif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

JOHOR BAHRU — Masyarakat India diseru memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju politik negara dengan memberikan sokongan padu kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor demi menjamin kesinambungan kerajaan stabil, agenda reformasi MADANI dan pembangunan ekonomi yang sedang dinikmati rakyat.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Dr Gunaraj George berkata walaupun masyarakat India merupakan golongan minoriti di Johor, undi mereka mempunyai nilai strategik dan berpotensi menjadi penentu kemenangan di hampir 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) campuran serta kawasan marginal.

“Pilihan raya ini bukan sekadar memilih wakil rakyat. Ia adalah pilihan sama ada kita mahu meneruskan kestabilan politik, reformasi dan pembangunan yang sedang membawa hasil, atau kembali kepada ketidaktentuan politik yang boleh menjejaskan ekonomi, pelaburan serta masa depan negara.

“Setiap undi masyarakat India amat bermakna. Walaupun jumlahnya tidak sebesar komuniti lain, pengaruhnya mampu menentukan kemenangan di banyak kerusi penting. Saya yakin masyarakat India akan membuat pilihan yang tepat dengan memberikan mandat kepada PH untuk meneruskan agenda MADANI demi masa depan Malaysia yang lebih makmur, inklusif dan progresif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata ketika dunia masih berdepan ketidaktentuan ekonomi, konflik geopolitik dan tekanan kos sara hidup, Malaysia memerlukan sebuah kerajaan yang stabil, diyakini serta mampu memberi tumpuan sepenuhnya kepada pertumbuhan ekonomi, penciptaan peluang pekerjaan dan peningkatan kesejahteraan rakyat.

“Kestabilan politik bukan sekadar slogan, tetapi asas kepada keyakinan pelabur, pertumbuhan ekonomi, pembukaan lebih banyak peluang pekerjaan dan peningkatan pendapatan rakyat. Rakyat mahukan sebuah kerajaan yang terus bekerja dan menyelesaikan masalah, bukannya negara yang kembali dibelenggu ketidaktentuan politik,” katanya.

Gunaraj yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa berkata selepas lebih tiga setengah tahun mentadbir, Kerajaan MADANI telah membuktikan komitmennya melalui pelbagai dasar dan inisiatif yang memberi manfaat kepada semua rakyat tanpa mengira kaum, termasuk masyarakat India.

Beliau berkata antara pencapaian paling signifikan ialah peningkatan peruntukan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) daripada RM100 juta kepada RM150 juta, selepas hampir sedekad jumlah tersebut tidak berubah di bawah pentadbiran terdahulu, malah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memberi jaminan bahawa jumlah itu akan terus dipertingkat mengikut keperluan semasa.

“Pada masa sama, pengurusan MITRA kini lebih telus, terbuka dan bertanggungjawab dengan pelaksanaan program serta penggunaan dana dipantau secara lebih sistematik dan dipertanggungjawabkan kepada Parlimen,” katanya.

Selain itu, beliau berkata Kerajaan MADANI turut meningkatkan peruntukan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), menyediakan bantuan penyelenggaraan rumah ibadat termasuk kuil, memperluas program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, melaksanakan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta memperkasa usahawan mikro, kecil dan sederhana.

“Pada masa yang sama, kerajaan terus memperkukuh agenda reformasi institusi, meningkatkan tadbir urus, memperhebat usaha membanteras rasuah serta melaksanakan dasar ekonomi yang lebih inklusif supaya manfaat pembangunan dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.

Gunaraj berkata rakyat kini mempunyai peluang menilai Kerajaan MADANI berdasarkan prestasi, rekod pencapaian dan hasil kerja yang telah dilaksanakan, bukannya dipengaruhi sentimen politik atau retorik semata-mata.

Pada PRN Johor yang akan berlangsung pada 11 Julai ini, PH bertanding di kesemua 56 kerusi DUN Johor.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor

— BERNAMA

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author