Connect with us

Terkini

Marina dakwa hilang keyakinan terhadap DAP selepas perbualan isu pengampunan Najib

Published

on

Foto: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim.
  • Marina berkata tanggapan bahawa beliau meninggalkan politik kerana dipindahkan kawasan atau mengkhianati perjuangan adalah tidak benar.
  • Sebaliknya, beliau mendakwa perbualan yang berlaku di sebuah kedai pakaian komuniti di Skudai pada 12 April lalu menjadi titik perubahan yang menyebabkan beliau hilang kepercayaan terhadap politik dan DAP.
  • Marina mendakwa, dalam pertemuan itu seorang pemimpin yang sebelum ini lantang mengkritik isu Najib memberitahunya bahawa tidak menjadi kesalahan sekiranya Najib diberikan pengampunan dan menjalani tahanan rumah atas jasa yang pernah dilakukan.

JOHOR BAHRU – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Skudai, Marina Ibrahim mendakwa beliau hilang keyakinan terhadap DAP selepas satu perbualan dengan seorang pemimpin mengenai isu pengampunan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dalam catatan di Facebook hari ini, Marina berkata tanggapan bahawa beliau meninggalkan politik kerana dipindahkan kawasan atau mengkhianati perjuangan adalah tidak benar.

Sebaliknya, beliau mendakwa perbualan yang berlaku di sebuah kedai pakaian komuniti di Skudai pada 12 April lalu menjadi titik perubahan yang menyebabkan beliau hilang kepercayaan terhadap politik dan DAP.

“Perbualan pada 12 April 2026 itulah yang menjadi titik yang hilangkan keyakinan aku,” katanya.

Marina mendakwa, dalam pertemuan itu seorang pemimpin yang sebelum ini lantang mengkritik isu Najib memberitahunya bahawa tidak menjadi kesalahan sekiranya Najib diberikan pengampunan dan menjalani tahanan rumah atas jasa yang pernah dilakukan.

Beliau turut mendakwa pemimpin berkenaan berharap pengampunan hanya diberikan selepas Pilihan Raya Umum kerana bimbang ia akan menjejaskan kepercayaan masyarakat Cina terhadap parti sekiranya dilaksanakan lebih awal.

Menurut Marina, pemimpin terbabit juga didakwa menceritakan strategi mengurus persepsi dalam kongres parti, termasuk kemungkinan peletakan jawatan beberapa pemimpin sekiranya pengampunan diberikan lebih awal, namun pada masa sama tetap menyatakan sokongan kepada Kerajaan Persekutuan sedia ada.

“Pada pandangan aku, semua itu lebih menyerupai satu persembahan politik,” katanya.

Marina berkata, selepas pertemuan itu beliau berbincang dengan pasukannya kerana mempersoalkan sama ada memanipulasi kepercayaan rakyat sudah menjadi sebahagian daripada strategi politik.

“Bagi aku, politik hanyalah sebuah platform. Tetapi hubungan aku dengan masyarakat sudah menjadi seperti sebuah keluarga,” katanya.

Beliau berkata, sebelum membuat keputusan meninggalkan politik sepenuhnya, beliau sekali lagi bertemu seorang pemimpin Melayu pada 20 Mei dengan harapan memperoleh pandangan yang berbeza.

Bagaimanapun, menurut Marina, perbincangan itu lebih tertumpu kepada jawatan parti, pembahagian kuasa dan pelantikan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Beliau turut mendakwa pemimpin berkenaan meluahkan rasa kecewa kerana merasakan dirinya sekadar “pasu bunga” dalam parti, selain mendakwa banyak keputusan penting tidak melibatkan dirinya walaupun memegang jawatan tinggi.

Marina berkata, beliau akhirnya menolak tawaran untuk bertanding semula dan memutuskan untuk bersara daripada politik.

Katanya, dalam surat rasmi kepada parti, beliau menegaskan bahawa pemimpin tidak seharusnya melupakan sebab rakyat memberikan kepercayaan kepada mereka.

“Saya berharap sebagai seorang pemimpin, kita tidak sekali-kali melupakan sebab mengapa rakyat memberikan kepercayaan kepada kita,” katanya.

Mengakhiri catatannya, Marina mempersoalkan amalan yang menurutnya menggunakan alasan “kepentingan yang lebih besar” bagi mengubah pendirian politik.

“Bagi aku, apa yang dipanggil ‘kepentingan yang lebih besar’ itu sering kali hanyalah sebuah naratif yang dibina oleh ahli politik.

“Naratif yang menggunakan rasa keadilan, emosi dan kepercayaan rakyat supaya mereka percaya bahawa itulah satu-satunya jalan yang betul.

“Hakikatnya… buah catur itu ialah rakyat. Yang menggerakkan buah catur pula ialah sesetengah ahli politik yang mencari kepentingan tertentu,” katanya. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author